Pendidikan berlandaskan al-Quran teras lahir modal insan perkasa bangsa, negara
PUTATAN: Pendidikan yang berlandaskan al-Quran dan sunnah harus dijadikan terbagi melahirkan modal insan untuk memperkasakan bangsa dan negara dalam mencapai kejayaan hidup di dunia dan di akhirat, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, ini juga seiring dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk membawaSabahketahap yang lebih maju dan cemerlang, sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang digagaskan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, komitmen itu diterjemahkan dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada aspek pemerkosaan pendidikan dan latihan, pengupayaan sektor ekonomi serta pengukuhan hubungan, termasuk persefahaman antara masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di negeri ini.
“Islam sentiasa memberikan penekanan kepada konsep hidup bermasyarakat danbernegara, manakala al-Quran, sebagai kitab suci umat Islam, memimpin ke arah penyatuan, kesatuan dan perpaduan ummah sebagai landasan menjayakan apa jua perancangan demi kemajuan negeri dan negara”.
“Tidak akan tercapai kejayaan tanpa adanya perpaduan yang akan mensejahterakan ummah dan negara, justeru ukhuwah perlu dijalin untuk membentuk perpaduan. Untuk mengangkat citra bangsa dan keagungan agama, setiap umat Islam harus mempertahankan kesatuan dan memperkasakan perpaduan yang selama ini kita bina bersama”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Penangguhan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Sabah Tahun 1445H/2024H di Dewan Sri Putatan pada Jumaat. Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Ir. Shahelmy Yahya.
Katanya, dengan populasi yang terdiri daripada pelbagai bangsa, suku kaum dan kumpulan etnik, aktiviti positif memupuk dialog antara budaya dan agama, serta saling bekerjasama ke arah kemajuan dan kejayaan, sangat penting dan berupaya memperkukuhkan keharmonian kaum serta perpaduan rakyat.
Hajiji mengajak semua pihak agar sentiasa menyedari dan menginsafi dalamvmenjalani hidup bermasyarakat terutamanya dalam masyarakat berbilang kaum, persefahaman, permuafakatan dan saling hormat menghormati merupakan suatu obligasi yang amat dituntut oleh agama.
Menurutnya, Al-Quran merupakan sumber rujukan bagi membangunkan tamadun umat manusia yang lengkap dengan ajaran dan khazanah Ilmu pengetahuan bagi memenuhi keperluan ummah seiring dengan tuntutan syariat.
“Oleh itu, amat penting bagi kita untuk memahami, mendalami dan menghayati setiap isi kandungan kitab suci al-Quran, kemudian mengaplikasikannya dalam kehidupan kita seharian”, tegasnya.
Beliau berkata, penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran merupakan wadah terbaik dan platform bagi membangunkan generasi yang cemerlang dan unggul dalam pelbagai bidang menerusi pemahaman dan penghayatan terhadap kandungan kitab suci al-Quran.
Tamat
