RM23 juta bantu sekolah bukan kerajaan & persendirian Cina di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah menyalurkan sejumlah RM 23,000,000  bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah bukan kerajaan termasuk Sekolah  Menengah Persendirian (SMP) Cina di Sabah pada tahun 2023. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, daripada angka itu,  sejumlah RM4,035,000 bantuan kewangan diberikan kepada 9 buah SMP, termasuklah  Sekolah Menengah (SM) Kian Kok yang menerima bantuan RM565,000. 

Menurutnya, Kerajaan Negeri turut menyediakan pelbagai insentif untuk membantu  beban kewangan pelajar Sabah seperti Biasiswa Pelajar Cemerlang Sabah, Biasiswa  Pelajar Luar Bandar Cemerlang, biasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta  serta dermasiswa melalui Yayasan Sabah. 

"Kerajaan Negeri akan meneruskan bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah dan  insentif-insentif untuk membantu pelajar Sabah pada tahun ini". 

"Dengan bantuan dan sokongan kewangan yang berterusan itu, menunjukkan  pengiktirafan dan komitmen kerajaan terhadap pembangunan pendidikan negeri ini,  serta memberikan keyakinan kepada sekolah-sekolah untuk terus menyediakan  pendidikan berkualiti kepada anak-anak kita di Sabah", katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-60 Sekolah  Menengah (SM) Kian Kok di Port View Palace Hall pada Sabtu. Teks ucapannya  dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk  Christina Liew. 

Hajiji berkata, pendidikan SMP Cina di Sabah dengan ciri-ciri perpaduan dan  kepelbagaian, telah menjadi aliran yang segar dalam sistem pendidikan Malaysia.  

"Ia tidak hanya melahirkan bakat-bakat yang cemerlang dalam akademik, juga  memainkan peranan yang positif dalam mempromosikan pembangunan negara dan  masyarakat. Kita yakin SMP Cina di Sabah akan terus memberi sumbangan yang lebih  besar kepada bidang pendidikan di Malaysia", katanya.

Beliau berkata, SMP Cina di Sabah menunjukkan keunikan dalam pelbagai aspek  berbanding dengan pendidikan SMP Cina di Semenanjung Malaysia. 

Menurutnya, SMP Cina di Sabah mengamalkan konsep pendidikan dua aliran, yang  tidak hanya menumpukan kepada kurikulum Kementerian Pendidikan untuk  menyediakan pelajar menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), malahan  juga menggalakkan pelajar mengikuti peperiksaan Senior Unified Examination  Certificate (SUEC).  

Katanya, konsep itu membolehkan pelajar lebih mudah menghadapi dan menyesuaikan  diri dengan perkembangan dunia pada masa akan datang, selain untuk membina  landasan yang kukuh untuk kerjaya mereka. 

Hajiji berkata, dari segi perpaduan rakyat, SMP Cina di Sabah juga mempamerkan ciri ciri yang berbeza, dan berjaya menarik lebih ramai pelajar bukan bangsa Cina untuk  menerima pendidikan Cina.  

"Keadaan demografi pelajar yang pelbagai ini menggalakkan pertukaran dan penyatuan  budaya berbilang kaum, selain turut menyumbang kepada perpaduan dan keharmonian  masyarakat." 

"Yang paling menarik perhatian adalah penekanan SMP Cina di Sabah terhadap  pendidikan tiga bahasa. Selain daripada pendidikan dalam Bahasa Cina, pengajaran  Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu juga diberi penekanan. Pendekatan ini tidak hanya  memberikan kelebihan kepada pelajar SMP Cina dalam komunikasi bahasa, juga  membina landasan yang lebih baik kepada mereka untuk menyesuaikan diri dalam  masyarakat", katanya. 

Sehubungan itu katanya, hujah ahli politik ekstremis bahawa SMP Cina menyebabkan  perpecahan dalam masyarakat adalah tidak berasas, sebaliknya melalui pengajaran  tiga bahasa, menggalakkan pelajar menghormati dan memahami kepelbagaian budaya  dan bangsa yang menyumbang kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat di  negara. 

Tamat