Tempoh penggal pentadbiran Kerajaan GRS-PH Plus hingga September 2025

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri dibawah pentadbiran GRS-PH Plus mempunyai tempoh sehingga bulan September 2025, untuk menghabiskan penggal pentadbirannya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) boleh diadakan sehingga tamat tempoh penggal, atau boleh diadakan pada bila-bila masa. 

"Itu pun bergantung kepada Ketua Menteri, kalau-kalau diberi petunjuk atau ilham, untuk mengadakan PRN lebih awal daripada tempoh yang sepatutnya", katanya pada Majlis Amanat dan Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan Tahun 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Isnin. 

Hajiji berkata, tidak kira, cepat atau lambat PRN diadakan, yang paling mustahak ialah penjawat awam sama ada negeri atau persekutuan yang menyokong penuh kepada kerajaan hari ini. 

Katanya, secara peribadi beliau amat berterima kasih kepada para penjawat awam, kerana memberikan kerjasama yang padu, sokongan dan dokongan kepada dasar-dasar Kerajaan Negeri pimpinannya selama tiga tahun mengepalai pentadbiran Kerajaan Negeri. 

"Perkhidmatan awam adalah sebahagian daripada jentera kerajaan, di sinilah letaknya nadi atau jentera yang menggerakkan Sistem Penyampaian Kerajaan. Cepat atau lambat, efektif atau kurang efektif, efisien atau pun tidak sistem penyampaian kerajaan, semuanya terletak di atas bahu penjawat awam" . 

"Bukan kecil peranan dan tanggungjawab para penjawat awam, dari yang serendah rendah jawatan hinggalah ke peringkat pengurusan – semuanya mempunyai tanggungjawab dan peranan yang telah ditetapkan", tegasnya. 

Hajiji berkata, Kerajaan berusaha melakukan pelbagai perubahan dan penambahbaikan dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dengan penekanan kepada aspek pengukuhan nilai-nilai Integriti dengan mewujudkan Polisi Integriti dan Antirasuah Perkhidmatan Awam Negeri.

Beliau berkata, perkara itu sangat wajar dititikberatkan dan diambil perhatian yang serius, kerana daripada beberapa kes kejadian masa lalu, isu integriti, ketirisan dan salah guna kuasa kerap berlaku yang kadang kala turut melibatkan penjawat awam. 

“Ini sudah tentu menjejaskan imej perkhidmatan awam yang sepatutnya mengamalkan budaya kerja yang bersih, cekap dan amanah. Justeru budaya kerja yang tidak berintegriti dan mengamalkan salahguna kuasa, akan menghancurkan sistem penyampaian kerajaan, merugikan negeri dan negara, juga memusnahkan masa depan penjawat awam itu sendiri", tegasnya. 

Selaras dengan usaha melahirkan penjawat awam yang kompeten, profesional dan berketerampilan katanya, perkhidmatan awam negeri sentiasa merangka latihandankursus berimpak tinggi di dalam dan luar negara khususnya kepada pegawai-pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional. 

"Saya difahamkan pihak JPAN kini dalam perancangan untuk mewujudkan satupusat latihan serba lengkap dengan peralatan moden dan terkini di samping menaiktaraf Pusat Latihan INSAN di Keningau. Selain itu, program pendigitalan turut diberi keutamaan dengan penekanan khusus dalam pembudayaan dan pembangunan pendigitalan di peringkat perkhidmatan awam negeri", katanya. 

Hajiji berkata, sebagai galakan kepada para penjawat awam untuk meningkatkan motivasi dan kompetensi, Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa polisi seperti pemberian Insentif Percutian kepada Pegawai-Pegawai Perkhidmatan AwamNegeri yang layak sebagai galakan dan penghargaan kepada pegawai yang telah berkhidmat genap atau lebih 20 tahun dalam perkhidmatan. 

Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah mengumumkan pemberian khas sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri dengan RM1,000 telah dibayar bulan Januari lalu, dan bakinya RM1,000 akan diberikan menjelang Hari Raya akan datang. 

"Pada tahun 2023, para penjawat awam negeri diberi bonus setengah bulan gaji. InsyaAllah, pada tahun depan, berkat kerja keras semua pihak, kita akan mempertimbangkan pemberian yang lebih wajar kepada para penjawat awam, dengan syarat, kerja lebih kuat, kerja lebih berstrategi, kerja bersungguh-sungguh ibarat sedang bekerja untuk memajukan syarikat milik kita sendiri. Dengan keuntungan yang besar dan revenue negeri yang bertambah – maka akan besar dan bertambah jagalah insentif kepada anggota perkhidmatan awam negeri", tambahnya. 

Tamat