RM474.55 untuk perkukuhkan pembangunan modal insan, tingkat pendidikan

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM474.55 juta pada tahun  ini bagi memperkukuhkan lagi pembangunan modal insan dan meningkatkan tahap  pendidikan di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, peruntukan itu antaranya untuk biasiswa dan dermasiswa, pembangunan dan  operasi sekolah agama Islam dan masjid, pembangunan badan-badan keagamaan bukan  Islam, sekolah mubaligh, sekolah jenis kebangsaan dan persendirian, operasi perpustakaan  termasuk perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak di seluruh negeri serta  pelaksanaan pelbagai program, latihan dan kursus kemahiran. 

Menurutnya, pendidikan memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan  generasi akan datang yang cemerlang, berdaya saing, berpengetahuan dan berkemahiran. 

“Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian dan keutamaan kepada keperluan serta isu  pendidikan sebagai sebahagian agenda negara, selain secara berterusan meningkatkan  tahap pendidikan di negeri ini”, katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Tamat Belajar Kelas  Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Peribumi (KEDAP) Kali Ke-9 di Dewan Resital Universiti  Malaysia Sabah (UMS) pada Rabu. 

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk  Dr.Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif. Seramai 625 peserta KEDAP menerima sijil tamat  belajar pada majlis itu. 

Katanya, pendekatan pembelajaran sepanjang hayat Kementerian Pendidikan bukan  sahaja untuk kanak-kanak seawal usia empat tahun mendapat pendidikan prasekolah  secara formal, malah orang dewasa boleh mendapat pendidikan seperti melalui Program  KEDAP yang menyediakan pendidikan asas kepada ibu bapa yang buta huruf dalam  masyarakat luar bandar.  

Beliau berharap kejayaan peserta KEDAP menamatkan program mereka, akan  meningkatkan kadar celik huruf di negara ini sekali gus menjadi perangsang kepada  generasi muda untuk mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan.  

“Ini sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah  Maju Jaya (SMJ) yang menekankan kepentingan pembangunan modal insan di negeri ini”. 

Tamat