Sebanyak RM3.43 juta unttuk AKWan tingkatkan kepimpinan wanita

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3.43 juta  dibawah projek khas Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) iaitu Akademi Kepimpinan  Wanita (AKWan) bagi tempoh 2022-2024 dalam usaha membudayakan kesaksamaan  gender dan membangun potensi wanita di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri  Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Sehubungan itu beliau berharap AKWan akan terus memperkasakan golongan wanita  melalui program-program kepimpinan dengan modul kursus yang terbaik. 

Beliau yakin dengan kerjasama antara Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan  Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) akan dapat mempertingkatkan lagi kepimpinan  wanita berwibawa di negeri ini. 

“Saya dimaklumkan program ini, memfokus kepada memberi latihan dan meningkatkan  kualiti kepimpinan golongan wanita di Sabah. Justeru, program ini seiring dengan  komitmen kerajaan negeri yang mengambil berat terhadap kebolehan dan tahap  keberkesanan kepimpinan wanita dalam pelbagai aspek dan peringkat.  

“Malah, kerajaan juga berpegang teguh pada prinsip memperkasakan wanita dan terus  menggalakkan mereka untuk mengambil minat yang lebih aktif sama ada dalam aspek  sosial, ekonomi mahu pun politik negeri. 

“Oleh itu, saya yakin graduan AKWan mampu menggalas tanggungjawab sebagai  seorang pemimpin pada masa akan datang. Saya dimaklumkan sasaran peserta  AKWan ini terdiri daripada pemimpin politik, orang muda di peringkat akar umbi selain  yang terlibat dalam syarikat berkaitan kerajaan atau GLC,” katanya sempena Majlis  Graduasi Kursus Kepimpinan Wanita (AKWan) di sini, pada Sabtu. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan  Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib. 

Beliau berkata kerajaan negeri menghargai usaha JHEWA dan MPWS dalam  memperkasa golongan wanita di negeri ini . 

“Justeru, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR)  melalui JHEWA telah diperuntukkan sebanyak RM4.2 juta bagi pelaksanaan program  Kemahiran Ibu Tunggal dan Wanita B40, Program Kepimpinan dan Kesaksamaan Gender serta Program-program Kesedaran, manakala MPWS sebanyak RM700,000,”  katanya. 

Sementara itu, Hajiji berkata sejajar perubahan masa kini, kerajaan negeri akan terus  berusaha untuk mencapai sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam memegang  jawatan tinggi dan pembuat keputusan di negeri ini. 

Ramai dalam kalangan wanita juga kini memegang jawatan tinggi dan setakat bulan  Januari tahun ini, berdasarkan data daripada JHEWA, wanita sebagai pembuat  keputusan dalam kerajaan negeri bagi jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri  (TSKN) merekodkan 33.3 peratus iaitu seorang wanita daripada tiga orang TSKN.  

Jawatan Setiausaha Tetap Kementerian pula mencatat 30 peratus iaitu tiga orang  wanita daripada 10 Setiausaha Tetap Kementerian manakala 47.61 peratus bagi Ketua  Jabatan iaitu 20 orang wanita daripada 42 Ketua Jabatan. 

Berdasarkan data yang diperoleh daripada Jabatan Tenaga Kerja, kajian juga  menunjukkan peningkatan wanita sebagai tenaga buruh amat ketara iaitu pada tahun  2020 sebanyak 55.3 peratus, tahun 2021 sebanyak 55.5 peratus dan tahun 2023 terus  meningkat kepada 55.9 peratus. 

“Kita memerlukan golongan wanita yang berdaya saing, mempunyai idea baharu dan  semangat wawasan yang tinggi agar dapat memastikan negeri Sabah maju ke hadapan  dan mempunyai barisan pentadbiran yang berdaya saing seiring dengan pembangunan  negara,” katanya. 

Tamat