Bantu usaha kerajaan majukan Sabah

KOTA KINABALU: Gabungan Persatuan-Persatuan Foochow Sabah dan Labuan yang  kini mempunyai 11 buah ahli gabungan digesa bersama-sama membantu usaha  kerajaan memajukan negeri Sabah.  

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, masyarakat Foochow  telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Sabah melalui  perdagangan dan perniagaan. 

Sehubungan itu beliau berharap masyarakat Foochow terus berusaha untuk mencapai  kecemerlangan dalam pelbagai bidang yang diceburi, terutama dalam membantu  pemulihan ekonomi selepas Pandemik COVID-19. 

“Saya ingin melihat Gabungan Persatuan-Persatuan Foo Chow Sabah dan Wilayah  Persekutuan Labuan melakukan lebih banyak lagi dan terus menyokong usaha kerajaan  negeri untuk memulihkan ekonomi negeri ini, termasuk dalam menjayakan pelan  pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)”, katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sambutan Perayaan Tahun Baru  Cina 2024 dan Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Jawatankuasa Kepimpinan (2023-2025)  Penggal Ke-4, Gabungan Persatuan-Persatuan Foochow Sabah dan Wilayah  Persekutuan Labuan di Dewan Port View Palace, Wisma Hakka pada Jumaat. 

Hajiji berkata, gabungan itu merupakan antara organisasi masyarakat Cina terbesar di  Sabah yang menghimpunkan pelbagai kekuatan dapat terus memperkukuhkan  perpaduan khususnya dalam kalangan ahli dan bersama-sama membawa  pembangunan dan perubahan bukan saja kepada komuniti Cina malah rakyat Sabah  secara keseluruhannya. 

Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan kepada semua persatuan  tanpa mengira bangsa dan agama agar dapat bekerjasama dengan kerajaan untuk  membangunkan rakyat dan negeri ini. 

Katanya, Kerajaan Negeri juga sentiasa menekankan dasar keadilan dan kesaksamaan  dalam semua aspek serta sentiasa membantu rakyatnya tanpa mengira bangsa dan  agama. 

“Ini jelas kerana dalam Belanjawan Sabah tahun 2024, Kerajaan Negeri  memperuntukkan sebanyak RM56.75 juta untuk pembangunan badan-badan  keagamaan bukan Islam, sekolah mubaligh, sekolah jenis kebangsaan dan  persendirian”, tegasnya. 

Hajiji berkata, semangat perpaduan merupakan tunjang kejayaan masyarakat Foochow  dalam pelbagai bidang. Malah Foochow juga terkenal sebagai masyarakat yang tabah  serta pintar dalam perniagaan dengan terbabit dalam sektor pembinaan, pembangunan  hartanah, infrastruktur, perladangan, perhutanan, farmasi dan juga perkhidmatan  professional.  

Menurutnya, hampir semua bidang telah diterokai dan diceburi oleh masyarakat  Foochow, sekali gus memberi impak kepada pembangunan dan kemajuan fizikal dan  modal insan di negeri Sabah.  

“Mereka telah berjaya melahirkan usahawan-usahawan terkenal serta golongan  professional yang kompeten. Kegigihan, kejayaan dan budaya kerja yang diamalkan  oleh masyarakat Foochow wajar dicontohi oleh kaum-kaum lain di negeri ini”,  tambahnya. 

Tamat