RM68.28 juta untuk projek mencegah banjir dan hakisan

TUARAN: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM68.28 juta tahun ini  untuk melaksanakan projek menangani dan mencegah banjir, program penstabilan dan  pencegahan hakisan tebing sungai dan pantai di Sabah. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, projek pencegahan  banjir dan hakisan itu akan dilaksanakan di pelbagai lokasi di seluruh negeri,  terutamanya kawasan berisiko banjir. 

Beliau berkata, usaha itu adalah untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat  pada tahap yang lebih selesa kerana kesejahteraan hidup rakyat menjadi keutamaan  Kerajaan. 

“Projek pertahanan tebing sungai yang akan dilaksanakan di kawasan Pekan Tuaran,  merupakan antara usaha diambil oleh kerajaan untuk pencegahan hakisan tebing  sungai, bagi memastikan fungsi sungai itu sebagai saliran dan takungan banjir dapat  dikekalkan”. 

“Dalam masa sama, projek itu yang mengambil masa selama dua tahun untuk  disiapkan, sudah pasti mampu menghalang fenomena hakisan tebing pada masa akan  datang”, katanya pada Majlis Pecah Tanah Bagi Projek Kerja-Kerja Pertahanan Tebing  Sungai Tuaran di tapak projek itu di Pekan Tuaran pada Khamis. 

Katanya, Projek Kerja-Kerja Pertahanan Tebing Sungai Tuaran unik kerana ia bukan  hanya untuk mengukuhkan tebing sungai, malah turut mengambil kira keperluan untuk  mengindahkan persekitaran Sungai Tuaran di pekan Tuaran. 

Menurutnya, pengindahan tebing sungai akan memberi manfaat lain khususnya sebagai  kawasan rekreasi awam untuk membolehkan aktiviti rekreasi seperti riadah/jogging,  memancing, lokasi penganjuran aktiviti disamping dijadikan tempat baru kunjungan  awam di pekan Tuaran. 

“Justeru saya mahu Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah selaku agensi pelaksana  projek ini agar dapat menguruskan projek ini dengan sebaiknya dan disiapkan dalam  tempoh yang telah ditetapkan. Saya juga berharap agensi-agensi yang berkenaan dapat  menyepadukan usaha agar kecantikan kawasan ini dapat dijaga dan fasiliti-fasilti yang  dibina akan diselenggara dengan sebaiknya, setelah siap kelak”, tegasnya.

Hajiji berkata, sungai mempunyai banyak kegunaan dalam kehidupan seharian, selain  sebagai sumber air utama bagi bekalan air minuman juga untuk kegunaan lain seperti  pertanian dan industri. Sungai juga merupakan habitat utama bagi flora dan fauna  merangkumi pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan akuatik dan spesis ikan serta haiwan  akuatik yang lain.  

Katanya, di beberapa tempat di Sabah, sungai masih lagi digunakan sebagai jalan  penghubung utama bagi masyarakat untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan  yang lain. 

Beliau berkata, sungai tidak terkecuali terkesan daripada tekanan-tekanan luaran yang  boleh memudaratkan bukan sahaja kuantiti dan kualiti airnya tetapi juga fungsi  ekosistemnya. Di bahagian hilir sesebuah sungai terutamanya, kejadian pencemaran  semakin bertambah akibat pelbagai faktor termasuklah tahap kekeruhan air disebabkan  sedimen semakin meningkat selain sampah-sarap. 

“Justeru, projek yang kita lancarkan amat penting sebagai ‘showcase’ berkaitan  kepentingan sungai kepada masyarakat dengan harapan agar objektif untuk  meningkatkan kesedaran pentingnya mengekalkan fungsi sungai dapat diterapkan  kepada semua lapisan masyarakat bukan sahaja di Tuaran tetapi juga ke tempat-tempat  lain di seluruh Sabah”, jelasnya. 

Tamat