Pendidikan penting lahirkan modal insan berdaya saing

TUARAN: Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada aspek pendidikan untuk  melahirkan modal insan yang berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti tinggi, kata  Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, komitmen kerajaan juga seiring dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju  Jaya (SMJ) yang menjadikan Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat  sebagai teras kedua pelan berkenaan. 

Sebab itu katanya, banyak inisiatif yang telah beliau perkenalkan dan berikan kepada  pelajar negeri ini dari peringkat sekolah rendah, menengah hingga ke institut pengajian  tinggi (IPT) untuk memastikan mereka dapat meneruskan pembelajaran hingga ke tahap  lebih tinggi. 

Beliau berkata, semua inisiatif itu semata-mata untuk membantu dan memastikan  kecemerlangan anak-anak dalam pendidikan, kerana mereka merupakan modal insan  yang penting dan amat diperlukan untuk membawa negeri ini ke tahap yang lebih  membangun. 

“Kerajaan juga mahu memastikan anak-anak sama ada berada di bandar atau luar  bandar negeri ini mendapat kesamarataan akses pendidikan yang sempurna dengan  keadaan sekolah yang baik dan selesa”. 

“Hanya menerusi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pendidikan yang tinggi, mereka  dapat bersaing dan berjaya, sekaligus menyumbang kepada pembangunan masyarakat  dan negeri Sabah khususnya”. 

“Kerajaan Negeri juga terus memperkukuhkan lagi pembangunan modal insan dengan  penyediaan peruntukan sebanyak RM474.55 juta pada tahun depan, untuk  melaksanakan pelbagai program antaranya berkaitan pendidikan dan latihan”, katanya  pada Majlis Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Bundung, di sini  pada Selasa.

Menyentuh sekolah-sekolah daif di Sabah, Hajiji berkata Kerajaan Persekutuan dibawah  pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim memberi keutamaan  untuk menaiktaraf infrastruktur dan kemudahan sekolah-sekolah tersebut. 

Beliau juga mengingatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak mendapat pendidikan  yang baik, dan tidak membiarkan mereka terjebak dengan kegiatan dan anasir negatif  yang boleh merosakkan kehidupan dan masa depan mereka. 

Sejajar dengan usia Jubli Intan SK Bundung, Hajiji mahu sambutan itu menjadi  pemangkin dan pencetus semangat kepada seluruh warga sekolah untuk terus  melahirkan lebih ramai modal insan yang cemerlang dari segi akademik dan insaniah,  serta bersama-sama membangunkan negeri ini pada masa hadapan. 

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200 ribu untuk membantu  membaiki beberapa kemudahan di SK Bundung yang telah berusia 60 tahun, dan  diketegorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) luar bandar. 

Tamat