Sabah akan terokai Ekonomi Biru bersama pelabur asing

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan menerokai Ekonomi Biru dengan kerjasama  pelabur-pelabur asing yang pakar dalam bidang itu. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Ekonomi Biru sudah  dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebagai salah satu  pendekatan untuk merancakkan ekonomi negara.  

Katanya, selaras dengan Belanjawan 2024, Kerajaan Negeri berhasrat meneroka  Ekonomi Biru yang bertujuan untuk pembangunan ekonomi, mewujudkan peluang  pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.  

Beliau berkata, Ekonomi Biru menjanjikan potensi yang besar dalam pelbagai bidang,  antaranya bagi negeri Sabah ialah Perikanan dan Akuakultur, Perkapalan dan  Pengangkutan (Logistik), Pelancongan, Tenaga Boleh Diperbaharui, Sumber-sumber  Mineral, Bioteknologi dan Farmaseutikal, Blue Carbon, Pengurusan Sisa dan Kawalan  Pencemaran, Kajian dan Pembangunan serta Infrastruktur Marin. 

"Semasa mengetuai delegasi ke Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi  China (GCET) di China pada November lalu, saya telah menjemput pelabur untuk  meneroka konsep Ekonomi Biru dengan Kerajaan Sabah bagi membangunkan sektor  pemprosesan makanan, kerana Sabah mempunyai pantai terpanjang di Malaysia,  dengan lebih 1,000 kilometer berpotensi besar untuk penternakan ikan dan hasil laut  lain", katanya. 

Beliau berkata demikian sempena Perasmian Program SMJ-EKOB 2023 Khazanah  Baharu Melalui Konsep Ekonomi Biru Di Negeri Sabah "Beyond Limits, Unleashing  Economy" di Hotel Le Meridien pada Khamis. 

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri  Panglima Sr Haji Safar Untong. 

Katanya, beliau turut meminta pelabur untuk mempertimbangkan sektor tenaga,  merangkumi sumber bahan api fosil dan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan  angin. 

Justeru beliau berharap semua pihak yang berkaitan dalam konsep Ekonomi Biru akan  bekerja keras untuk menarik lebih ramai pelabur luar termasuk dari China untuk melabur  dalam konsep itu. 

"Kita harus sedar bahawa jika pada masa lalu ia hanyalah sebuah konsep dalam  ekonomi, kini sudah menjadi satu kemestian untuk diterokai. Lebih-lebih lagi, kedudukan  geografi negeri Sabah amatl strategik, dikelilingi lautan seluas 37,300 kilometer persegi,  dengan pelantar benua berkeluasan 116,800 kilometer persegi, dan garis pantai  sepanjang 2,383 kilometer". 

"Dengan khazanah dan kekayaan biodiversiti marin yang dimiliki negeri Sabah,  potensinya amat besar. Justeru, kerajaan komited dan mengambil serius  pembangunan Ekonomi Biru kerana memahami betapa besar implikasinya kepada  rakyat, alam sekitar dan masa depan bersama", tegasnya. 

Hajiji berkata, Konsep Ekonomi Biru diperkenalkan pada tahun 2012 oleh Pertubuhan  Bangsa-bangsa Bersatu, yang merujuk kepada pemanfaatan secara lestari sumber sumber laut untuk pertumbuhan ekonomi, peningkatan taraf hidup, dan penciptaan  pekerjaan, sambil menjaga kelestarian ekosistem marin.  

Sementara di persidangan ASEAN di Brunei Darussalam pada tahun 2021, para  delegasi termasuk Malaysia telah bersetuju untuk mengadaptasikan ekonomi biru di  rantau ASEAN.  

Beliau berkata, Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ 1.0: 2021-2025)  yang dilancarkan pada 29 Mac 2021, menggariskan strategi pembangunan negeri  dengan memanfaatkan semua sumber yang terdapat di negeri Sabah secara optimum.  

Menurutnya, sifat Pelan SMJ sudah seawalnya menyediakan ruang untuk meneroka  kaedah atau sumber baharu bagi meningkatkan pembangunan ekonomi, kesejahteraan  rakyat dan pada masa yang sama memelihara ekosistem alam sekitar.  

"Perkara ini terkandung dalam teras utama Pelan SMJ di bawah elemen J: Jaringan  Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, yang pada prinsipnya menyokong agenda  pembangunan Ekonomi Biru di negeri Sabah", tambahnya. 

Menyentuh Program SMJ-EKOB 2023, Hajiji berkata ia adalah platform untuk  mewujudkan kerangka ekonomi yang akan menentukan hala tuju Ekonomi Biru bagi  negeri Sabah 

Tamat