Kerajaan Negeri komited banteras jenayah siber

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited untuk bersama-sama dengan Kerajaan  Persekutuan serta agensi-agensi berkaitan dalam membanteras jenayah siber terutamanya  jenayah kewangan dan scam yang masih mencatat peningkatan ketara di negeri Sabah. 

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata berdasarkan statistik  Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis (IPK) Sabah, jumlah kes jenayah  siber yang berlaku di Sabah menunjukkan tren peningkatan dalam tempoh tiga tahun  kebelakangan ini. 

Menurutnya, bagi tempoh tahun 2020 hingga September 2023, sejumlah 4,687 kes  dilaporkan, yang melibatkan jenis kesalahan seperti phone scam, love scam, pinjaman tidak  wujud, pelaburan, belian online dan akta jenayah komputer, yang menyebabkan kerugian  sebanyak RM100,087,125.10. 

"Daripada 4,687 kes, sebanyak 1,069 kes jenayah siber dilaporkan berlaku pada tahun 2020  manakala 1,169 kes pada tahun 2021; 1,206 pada tahun 2022 dan sebanyak 1,243 kes  setakat Januari hingga September tahun ini.  

"Dalam tempoh tersebut, jenis kesalahan tipu belian online merekodkan jumlah kes tertinggi  iaitu sebanyak 1,823 kes, diikuti oleh phone scam sebanyak 1,122 kes, pinjaman tidak  wujud sebanyak 817 kes, pelaburan (603 kes), love scam (158 kes) dan kesalahan dibawah  akta jenayah komputer sebanyak 164 kes," katanya di majlis perasmian Program Jelajah  Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sabah di Universiti Malaysia Sabah,  Kampus Sepanggar hari ini. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya Datuk  lr Shahelmey Yahya.  

Menurutnya, kes jenayah siber dan kesalahan dibawah Akta Jenayah Komputer di Sabah  telah menyebabkan mangsa mengalami kerugian berjumlah RM24,885,763.50 pada tahun  2020, manakala bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM25,427,844.42 dan  RM21,749,610.61 pada tahun 2022.  

Sepanjang bulan Januari hingga September tahun ini pula, jumlah kerugian direkodkan  sebanyak RM28,023,906.57, katanya. 

"Jumlah ini agak membimbangkan, justeru saya menggesa rakyat Sabah khususnya  pengguna Internet untuk tampil membuat laporan berkaitan insiden scam dan penipuan  dalam talian yang dialami.  

"Laporan yang dibuat adalah sangat penting bagi membantu pihak berkuasa membuat  analisa trend penjenayah termasuk scammer serta membangunkan langkah-langkah  pencegahan yang wajar untuk melindungi orang ramai dari terus menjadi mangsa," katanya. 

Hajiji berkata pihak perbankan, penguatkuasa undang-undang dan agensi keselamatan  perlu terus bekerjasama untuk menangani isu tersebut dengan melaksanakan undang undang. polisi dan peraturan baharu yang lebih efektif, kerjasama di peringkat antarabangsa  untuk menjalin hubungan bagi perkongsian maklumat, serta melabur dalam teknologi  baharu untuk mengesan dan mencegah teknik-teknik penipuan dalam talian dengan segera  dan berkesan. 

"Pelbagai inisiatif digerakkan dalam usaha membanteras jenayah scam dan penipuan  dalam talian oleh pihak Kerajaan, Agensi dan Jabatan, Syarikat korporat serta Badan-badan  Bukan Kerajaan (NGO).  

"Antaranya ialah penubuhan Pusat Respon Scam Kebangsaan (National Scam Response  Centre - NSRC). Sementara beberapa peruntukan undang-undang sedia ada mungkin perlu  dipinda termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan  Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, Kanun Keseksaan, Kanun Tatacara  Jenayah dan lain-lain sesuai dengan keperluan dan cabaran masa kini," katanya. 

Menurut beliau, dalam pada kerajaan giat berusaha memberi kesedaran bagi mendidik  pengguna mengenai ancaman dan serangan siber, masih ramai pengguna Internet yang  terpedaya dan mudah percaya dengan tipu helah scammer yang bermain dengan emosi  mangsa.  

"Setiap hari ada sahaja rakyat kita menjadi mangsa tipu helah scammer. Jenayah scam  muncul bagaikan cendawan, sehingga ada yang menyamar sebagai anggota polis, pegawai  Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kakitangan mahkamah, pegawai Jabatan Kastam,  pegawai bank dan pelbagai cara lagi untuk memperdaya mangsa," katanya. 

Hajiji berkata jenayah penipuan dalam talian di Sabah menunjukkan trend peningkatan yang  agak ketara dan membimbangkan.  

"Justeru jangan mudah terpedaya dengan pujuk rayu yang menawarkan pulangan lumayan  dalam tempuh yang cepat, selidiki dahulu jika ditawarkan sesuatu. Paling penting, segala  maklumat peribadi jangan dengan mudah dikongsikan dengan orang yang tidak dikenali,  apa lagi jika hanya melalui panggilan telefon. 

"Saya berharap program pada hari ini dapat memberi lebih banyak pengetahuan kepada  masyarakat negeri Sabah dalam melindungi diri daripada penipuan kewangan dan ancaman  siber. Program jelajah seumpama ini juga wajar diperluaskan hingga ke seluruh negeri agar  rakyat di peringkat akar umbi mendapat manfaat dan tidak menjadi mangsa penjenayah  siber atau scammer," katanya. 

Tamat