Hasilkan produk makanan halal Sabah untuk pasaran global

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mahu lebih ramai usahawan di Sabah  menghasilkan produk makanan halal yang bukan sekadar untuk pasaran tempatan,  malah ke peringkat global.  

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Sabah memiliki  pelbagai produk makanan yang boleh diketengahkan oleh usahawan tempatan hingga  ke peringkat lebih tinggi. 

Beliau berkata, walaupun pembabitan usahawan termasuk perindustrian mikro kecil dan  sederhana (PMKS) dalam industri makanan halal di negeri ini semakin bertambah,  namun masih perlu terus dipergiatkan.  

"Kita mahu melihat pembabitan lebih ramai usahawan dalam bidang produk makanan  halal di Sabah. Usahawan baharu dan sedia ada juga perlu memanfaatkan sepenuhnya  expo halal yang diadakan untuk meningkatkan dan meluaskan perniagaan mereka"  katanya pada Majlis Perasmian Expo Halal Sabah (SAHEX) dan Karnival Baurung-Urung di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Sabtu. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk  Seri Panglima Haji Kadzim Haji M.Yahya. 

Hajiji berkata, Kerajaan sangat mengambil perhatian mengenai pengurusan halal di  negeri ini berikutan pasaran global industri halal dunia dijangkakan mencapai jumlah  USD2.4 trilion pada 2024. 

Katanya, keprihatinan kerajaan dizahirkan melalui penubuhan Majlis Halal Sabah  (MAHAS) yang berperanan sebagai badan rasmi kerajaan dalam membincang,  mengkaji dan membuat keputusan isu-isu halal serta mencadang langkah baharu bagi  membangun industri halal di negeri ini. 

Beliau berkata, yang penting dalam pengurusan halal ialah semua pihak, jabatan dan  agensi yang terlibat memberi tumpuan khusus kepada memperkasa aspek pensijilan  halal khususnya kepada PMKS. 

"Ini penting agar PMKS juga mampu bersaing dan memiliki keupayaan dalam pasaran  industri halal di negeri ini", tambahnya.

Melalui usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri, beliau berharap Expo Halal Sabah  yang diadakan akan memantapkan lagi kefahaman Pensijilan Halal Malaysia kepada  pemain industri dan pengunjung expo.  

"Expo ini juga dapat menjalin jaringan kerjasama pemain-pemain indusrti halal di dalam  dan luar negara, di samping memperkenalkan produk-produk halal buatan tempatan di  negeri ini", tegasnya. 

Menyentuh Karnival Baurung-Urung, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan  penganjuran karnival itu bagi memupuk muafakat dan sikap toleransi dalam masyarakat  tanpa mengira bangsa, kaum dan agama di negeri ini.  

Beliau berharap Karnival Baurung-Urung sebagai antara khazanah budaya negeri ini  yang boleh diketengahkan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.  

Katanya, masyarakat Brunei yang memiliki pelbagai khazanah seni budaya dan adat  resam, boleh menjadi sebahagian daripada penyumbang dalam sektor pelancongan. 

"Usaha berterusan perlu dilakukan untuk merancakkan sektor pelancongan. Karnival  seumpama ini perlu dipromosikan sebagai salah satu produk untuk meningkatkan  sumber pendapatan pelancongan negeri Sabah", katanya. 

Tamat