KM ajak anak muda Sabah bersama, ganding bahu bangunkan Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengajak  semua anak muda Sabah bersama-sama berganding bahu membangunkan negeri  Sabah dan sederap selangkah menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). 

Beliau juga mengajak Ahli-ahli Dewan Belia Sabah (DBS) yang dipilih mewakili 73  Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Negeri Sabah terus memberikan sokongan dan  dokongan kepadanya dan rakan-rakan dalam membawa negeri Sabah lebih maju dan  makmur.  

Katanya, beliau akan memastikan kerajaan yang dipimpinnya terus melakukan yang  terbaik untuk negeri dan rakyat Sabah. 

“Negeri Sabah tanah air tercinta ini adalah tanggungjawab kita bersama. Negeri ini tidak  akan maju dalam erti kata yang sebenar sekiranya masih ada warganya terpinggir dalam  pembangunan yang dilaksanakan.”, katanya pada penutupan Persidangan DBS,  Mesyuarat Pertama Penggal Pertama di Dewan Bangkuasi DUN Sabah pada Selasa. 

Persidangan DBS yang pertama itu telah berlangsung selama dua hari bermula pada  30 hingga 31 Oktober 2023, dan disertai oleh seramai 79 Ahli DBS, termasuk 6 DUN  Belia lantikan. Sebanyak 9 usul telah dipilih untuk dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Belia  yang menyentuh pelbagai isu mendasarkan kepada kepentingan rakyat negeri ini  khususnya golongan belia. 

Hajiji berkata, beliau telah menerima usul-usul yang telah dibahaskan oleh Ahli DBS dan  Kerajaan Negeri menghargai segala pandangan kritis, cadangan dan idea yang bernas. 

“Saya mengambil maklum pelbagai kegusaran yang telah dibangkitkan oleh para Ahli  DBS semasa perbahasan. Antaranya mengenai pembangunan infrastruktur asas luar  bandar, eko-sistem pembangunan keusahawanan Sabah, Pindaan Perlembagaan  Negeri berkaitan pemilihan ADUN Lantikan dalam kalangan belia yang diangkat dalam  kalangan ahli DBS, isu perundangan, keselamatan, integriti, dan antarabangsa, peluang  pekerjaan, Sabah Youth Hub yang memfokuskan pembangunan belia dan Kepimpinan  dan beberapa usul lain”.

“Kerajaan Negeri akan meneliti secara terperinci usul-usul yang menjadi keutamaan dan  keperluan untuk mengangkatnya ke Persidangan DUN Sabah atau dibincangkan di  peringkat Kabinet Negeri Sabah”, katanya. 

Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri juga memandang serius terhadap setiap cabaran yang  dihadapi oleh golongan belia hari ini terutamanya kualiti kehidupan pasca COVID-19  yang melibatkan keseluruhan rakyat negeri ini. 

Beliau berharap dengan wujudnya Dewan Belia dapat membantu golongan generasi  muda menguasai pelbagai ilmu pengetahuan, mengetahui dan memahami hak sebagai  pengundi dan pemegang mandat dalam menentukan kepimpinan negeri dan negara  pada masa hadapan, serta memastikan belia memberikan perhatian sepenuhnya serta  tahu tanggungjawab terhadap pembinaan masa depan negeri dan negara. 

Katanya, tanggungjawab yang dipikul oleh Ahli DBS bagi sesi 2023-2024 cukup berat  dan mencabar demi untuk melahirkan barisan kepimpinan generasi muda yang  berketerampilan, berkebolehan, berpendidikan dan mempunyai wawasan untuk sama sama menyumbang dalam pembangunan negeri ini khasnya dan negara amnya. 

Menurutnya, penubuhan DBS merupakan manifestasi dan idea Kementerian Belia dan  Sukan (KBS) Sabah hasil kolaborasi bersama Majlis Belia Sabah dan Jabatan Belia dan  Sukan (P) Sabah.  

"Ini selaras dengan peranan dan fungsi KBS Sabah untuk melaksanakan program program kepimpinan di bawah program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS)  yang merupakan platform untuk para belia mendapatkan latihan dan bimbingan bagi  membangkitkan potensi diri sebagai belia kompeten dan berwibawa bagi menjayakan  misi Hala Tuju SMJ yang diperkenalkan oleh kerajaan masa kini", katanya. 

Tamat