Sabah komited anjur program sukan ke arah melahirkan atlet bertaraf antarabangsa

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam penganjuran program  sukan di negeri ini, termasuk menyokong segala usaha ke arah melahirkan lebih ramai  atlet hingga ke peringkat antarabangsa. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata seiring dengan  komitmen itu, kerajaan negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan negeri akan terus  melipatgandakan usaha serta memperkasakan lagi program-program pembangunan  sukan negeri agar ia berada atas landasan yang tepat, sekali gus mencipta lebih banyak  kejayaan pada masa hadapan. 

Justeru katanya, kerajaan memperuntukkan RM97.5 juta bagi pembangunan belia dan  sukan, penaiktarafan kemudahan sukan dan penyelidikan sains sukan, untuk tahun in,  sekali gus membuktikan komitmen kerajaan Sabah kepada kemajuan sukan dan  pembangunan belia di negeri ini.  

“Kita mahu melihat Sabah melahirkan lebih ramai atlet dan ahli sukan yang hebat yang  akan membawa kegemilangan sukan kepada negeri dan negara. Saya berharap  anugerah dan pengiktirafan yang diberikan pada malam ini akan menjadi pencetus  semangat kepada pelapis dalam kalangan atlet muda negeri yang berpotensi untuk  terus digilap bagi melakar kejayaan demi kejayaan yang boleh kita banggakan. 

“Saya sangat berharap agar atlet-atlet negeri akan terus berusaha dengan gigih untuk  meraih lebih banyak pingat, terutamanya pingat emas, dalam setiap penganjuran sukan  yang disertai pada masa hadapan,” katanya sempena Majlis Anugerah Sukan Negeri  Sabah 2021-2022 di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini malam tadi  (Selasa). 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II yang juga Menteri  Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam. 

Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Toh  Puan Norlidah RM Jasni.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga bersetuju menaikkan jumlah hadiah  kemenangan untuk semua kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Sukan  Negeri Sabah 2021/2022 kali ke-30 ini. 

“Diharapkan dengan kenaikan jumlah insentif dan hadiah kemenangan ini mampu  menyuntik semangat atlet dan penggiat sukan untuk terus berjuang mencipta kejayaan  dan kecemerlangan pada masa-masa akan datang. 

“Seperti yang kita semua tahu, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia  termasuk negara ini, telah menjadi titik hitam dan menjejaskan banyak sektor  termasuklah aktiviti kesukanan. Pandemik itu telah mengakibatkan pembatalan  beberapa penganjuran acara sukan peringkat kebangsaan seperti Sukan Malaysia,  Johor 2020 dan penganjuran bertaraf dunia seperti Olimpik Tokyo 2020.  

“Penganjuran Anugerah Sukan Negeri Sabah bagi tahun 2019-2020 turut terkesan  sehingga penganjurannya terpaksa dibatalkan dan tidak dapat diteruskan. Namun ini  tidak mematahkan semangat juang atlet-atlet, jurulatih dan seluruh penggiat sukan  tanah air untuk terus mencapai kejayaan dalam sukan,” katanya. 

Hajiji berkata kerajaan negeri turut menekankan pembangunan sukan orang kurang  upaya (OKU) atau atlet para di negeri ini, yang turut mencipta kejayaan hingga ke  peringkat antarabangsa. 

“Apa yang lebih menggembirakan sukan ini telah membuahkan hasil apabila Sukan  PARA berjaya mencapai lebih 40 pingat emas dan muncul sebagai juara di Para  SUKMA di Kuala Lumpur pada tahun 2021. Pencapaian cemerlang atlet para tidak  terhenti di situ sahaja, malah berjaya menempatkan tiga atlet para negeri ini beraksi di  Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dianjurkan pada tahun 2021. 

“Saya berharap semoga atlet Sukan Para akan terus mencipta kejayaan dari semasa  ke semasa baik di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa. Syabas kepada  semua atlet Sukan Para,” katanya. 

Dalam masa sama, beliau mahu atlet negeri ini juga bukan saja berjaya dalam sukan  malah turut cemerlang dalam akademik mereka. 

Tamat