Program CSR pencegahan dan pendidikan antirasuah layak dapat potongan cukai

KOTA KINABALU: Syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah  digesa melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berbentuk  pencegahan dan pendidikan antirasuah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah  Malaysia (SPRM). 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, di bawah Seksyen  34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967, mana-mana syarikat swasta atau GLC yang  melaksanakan program CSR berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah di  negara ini, boleh mendapat potongan cukai. 

Menurutnya, berdasarkan peruntukan itu, syarikat-syarikat swasta layak memohon  mendapatkan potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan yang bersamaan  dengan amaun perbelanjaan yang dibuat. 

"Justeru saya menggesa syarikat-syarikat swasta dan kerajaan di Sabah agar  mengambil peluang dan insentif pelepasan cukai itu dengan menganjurkan program  CSR berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah bersama SPRM". 

"Ini secara tidak langsung dapat memberi manfaat dalam membantu menyemarakkan  budaya integriti dan benci rasuah di kalangan masyarakat negeri ini", katanya ketika  merasmikan Program Kedai Jujur Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 di Sekolah  Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nangka pada Isnin. 

Katanya, Kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama kepada  SPRM dalam memerangi dan melaksanakan aktiviti pencegahan rasuah. 

Beliau berkata, ini termasuklah menambahbaik tadbir urus dan sentiasa  memperkasakan integriti di peringkat penjawat awam hingga ke peringkat pelajar  sekolah.  

Menurutnya, rakyat juga perlu memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya  kepada pihak SPRM, dalam membantu menyalurkan maklumat dan melaporkan  sebarang perlakuan rasuah serta salah guna kuasa yang berlaku. 

"Ini penting supaya pelaku rasuah dikenakan tindakan undang-udang yang sewajarnya  agar ianya menjadi iktibar kepada masyarakat", tambahnya.

Menyentuh Program Kedai Jujur, katanya ia merupakan kedai yang menjual barang barang “fast moving items” tanpa penjaga pada masa persekolahan. Pembeli terdiri  daripada komuniti pelajar, guru, ibu-bapa dan orang awam yang akan memasukkan  bayaran berbentuk wang ke dalam tabung yang disediakan.  

Beliau berkata, Kedai Jujur tidak bermotifkan keuntungan dan ianya lebih berlandaskan  pembelajaran berasaskan eksperimen yang mampu mendidik anak-anak bersikap jujur  untuk membayar dahulu sebelum mengambil barang yang diperlukan, kerana integriti.  

Justeru katanya, Kedai Jujur merupakan salah satu inisiatif dalam mempersiapkan diri  pelajar-pelajar sekolah sejak kecil lagi dengan penerapan nilai-nilai murni.  

"Tabiat bermoral seperti itu perlu diterapkan bermula dari alam persekolahan lagi,  supaya ia menjadi pegangan hidup apabila mereka dewasa kelak. Konsep kedai jujur  ini boleh dijadikan benteng utama di peringkat awal lagi, bagi menghalang pelakuan  pelajar sekolah tidak berintegriti kelak", tegasnya. 

Hajiji berkata, konsep Kedai Jujur tidak asing di negeri Sabah kerana ia sinonim dengan  ‘gerai jualan tanpa penjaga’ yang boleh dilihat di tepi-tepi jalan di sepanjang jalan raya  di beberapa daerah di negeri ini.  

Menurutnya, peniaga hanya meletakkan tabung khas untuk pelanggan yang singgah  membeli dan memasukkan bayaran ke dalam tabung tersebut, yang mana peniaga  hanya mengharapkan kejujuran daripada pembeli. 

Tamat