Peka dan berhikmah beri pandangan, penjelasan hukum syarak

KOTA KINABALU: Institusi agama perlu peka dan berhikmah dalam memberikan  pandangan dan penjelasan hukum syarak, agar Islam dilihat sebagai "ad-din" yang  menzahirkan kesefahaman dan kehormanian bermasyarakat, kata Ketua Menteri, Datuk  Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, perpaduan dan persefahaman ini juga merupakan salah satu matlamat Dasar  Hala Tuju Sabah Maju Jaya, iaitu membina negeri dan masyarakat yang bersatu, aman,  makmur dan sejahtera.  

Beliau berkata, ia juga selaras dengan gagasan Malaysia Madani dengan enam nilai  teras yang mengukuhkan lagi nilai persaudaraan dan perpaduan di kalangan rakyat  Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.  

Menurutnya, jabatan dan agensi yang terbabit dalam pengurusan hal ehwal Islam  seperti Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri, Jabatan Kemajuan Islam  Malaysia (JAKIM), Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Ehwal Agama  Islam Malaysia dan Majlis Fatwa Negeri perlu bekerjasama dan bergabung tenaga  dalam menyelesaikan masalah umat Islam dan memartabatkan syiar Islam di negara  ini.  

“Hal ini juga akan memupuk keyakinan yang ampuh kepada pihak berautoriti agama  dalam memberi penerangan yang jelas dan tuntas dalam isu agama sama ada politik,  sosial, ekonomi dan seumpamanya agar kehidupan masyarakat Islam berteraskan  kepada panduan al-Quran dan al-Sunnah serta penjelasan daripada alim ulama yang  muktabar”, katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Tautan Ukhwah dan Mahabbah sempena  Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI)  Kali ke 122 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Khamis. 

Hajiji berkata, Malaysia merupakan negara majmuk dari segi penduduknya, terutama  negeri Sabah merupakan tanah tumpah darah kepada 33 kumpulan pribumi, yang  bertutur dalam 50 bahasa dan 80 dialek etnik. 

“Bayangkan betapa hebat dan uniknya khazanah budaya bangsa yang kami warisi ini!  Saya sendiri mempunyai ramai saudara-mara dan ipar duai yang berlainan bangsa,  budaya dan kepercayaan agama. Namun, rakyat Sabah tetap hidup dalam suasana  harmoni dan rukun damai sejak berkurun lamanya”. 

“Bayangkan betapa meriahnya suasana di kala kami menyambut perayaan-perayaan  keagamaan dan kebudayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Krismas, Tahun Baharu  Cina, Pesta Kaamatan dan lain-lain perayaan. Saudara mara dan rakan taulan datang  untuk berziarah yang berlainan agama”. 

“Namun, kemesraan dan keharmonian tetap menguasai suasana dan ianya adalah  semula jadi. Justeru, kemesraan dan keharmonian itulah sebenarnya nilai kekuatan  yang memperkukuhkan perpaduan”, jelasnya. 

Beliau percaya perbezaan bangsa, budaya dan agama yang wujud tidak akan menjadi  batu penghalang kepada rakyat negeri ini memperkukuhkan kesatuan dan perpaduan.  

Katanya, nilai-nilai murni yang telah berakar umbi di negeri ini akan terus diwarisi dan  menjadi pegangan hidup generasi akan datang dan beberapa generasi yang  seterusnya. 

Hajiji berkata, semangat toleransi dalam beragama sangat tinggi di Sabah sehingga isu isu berkaitan keagamaan hampir tidak kedengaran. 

Menyentuh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI di Kota Kinabalu, beliau berkata  ia merupakan medium untuk membincangkan dan memutuskan perkara-perkara yang  berkaitan Hal Ehwal Islam yang dirujuk oleh Majlis Raja-Raja.  

Katanya, pandangan dan keputusan yang dicapai dalam muzakarah itu amat penting  dan dinantikan oleh masyarakat Islam yang melibatkan isu-isu semasa berkaitan  dengan kehidupan umat Islam.  

Tamat