Kerajaan Negeri umum 5 inisiatif majukan KTSY

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan 5 inisiatif penting untuk  memastikan kejayaan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dalam persada  pendidikan tinggi dan melahirkan belia yang terjamin masa depan. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata inisiatif pertama ialah  Kerajaan Negeri melalui Innoprise Corporation Sdn. Bhd. (ICSB) akan memberikan  bantuan bulanan sebanyak RM500,000 bersamaan RM 6 juta pada tahun 2024, seperti  yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2023. 

Katanya, inisiatif kedua ialah Kerajaan Negeri melalui ICSB bersetuju memberikan  Geran Khas sebanyak RM10 juta untuk kos operasi dan utiliti KTYS bagi tahun 2024. 

Menurutnya, inisiatif ketiga ialah Kerajaan Negeri melalui Kementerian Sains Teknologi  dan Inovasi (KSTI) akan memberi peruntukan khas sebanyak RM3 juta setahun kepada  KTYS untuk menjalankan kursus-kursus jangka pendekyang bersesuaian dengan  keperluan kerajaan negeri.  

“Sebagai permulaan kursus tersebut ialah scuba diving, bekam dan refleksologi,  teknologi drone, bahasa Korea dan Mandarin yang akan dilaksanakan pada tahun  2024”, katanya pada Istiadat Konvokesyen KTSY Ke-26 di Sabah International  Convention Centre (SICC) pada Selasa. 

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji  Masidi Manjun.  

Katanya, inisiatif keempat ialah Kerajaan Negeri melalui ICSB bersetuju memberi bonus  tahunan kepada kakitangan KTYS sebanyak RM600 seorang dan pemberian ini akan  dibayar bersama gaji pada bulan Disember 2023. 

Menurutnya, inisiatif lain ialah Kerajaan Negeri akan membina sebuah dewan  serbaguna di Kampus Induk KTYS, Sembulan dengan kos sebanyak RM450,000. 

“Semoga dengan inisiatif-inisiatif ini, KTYS mampu melahirkan graduan yang memenuhi  permintaan pasaran industri masa kini. Pendekatan digital dan teknologi perlu  diterapkan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran demi meningkatkan kefahaman,  kemahiran serta pengaplikasian ilmu dalam kehidupan sebenar”.

“Pemerkasaan sahsiah dan ilmu juga perlu diterapkan kepada generasi terkini agar  seimbang keduanya. Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan kepada  pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan belia”, tegasnya.  

Hajiji berkata, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) yang kini menerima pelaburan  asing berimpak tinggi memberi peluang pekerjaan kepada graduan yang mempunyai  kemahiran teknikal termasuk dari KTYS untuk bekerja dalam sektor pembuatan dan  perindustrian.  

Malah katanya, usaha Kerajaan Negeri untuk menambah dua lagi taman perindustrian  di Sabah amat memerlukan modal insan yang berkemahiran dan berpengetahuan.  

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan terus melabur dalam infrastruktur pendidikan,  menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar yang layak, serta  memupuk perkongsian antara institusi pendidikan dan industri.  

"Semua inisiatif kerajaan ini untuk memastikan rakyat Sabah berpeluang meneruskan  persekolahan hingga ke tahap lebih tinggi, selain membantu mengurangkan beban ibu  bapa dan keluarga pelajar daripada golongan B40. Kita tidak mahu ada yang terpinggir  daripada menerima pendidikan di negeri ini", tegasnya. 

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga telah menyediakan "Human Capital Development  Blue Print for Sabah" (2021- 2035) bagi memastikan sukatan pelajaran, ilmu kemahiran  dan kepakaran belia serta modal insan, sentiasa relevan, selain menjadi garis panduan  bagi program pembangunan modal insan secara holistik di negeri ini.  

Hajiji percaya dengan bantuan dan peruntukan yang diberikan akan memudahkan  laluan dan perjalanan para graduan dalam mendapatkan pendidikan formal dan  kemahiran serta akan melahirkan tenaga-tenaga mahir yang boleh menyumbang  semula kepada negeri Sabah dan akan mengurangkan kebergantungan negeri kepada  tenaga kerja luar.  

Tamat