Pendekatan serba sederhana formula terbaik majukan umat Islam

KOTA KINABALU: Pendekatan yang serba sederhana atau “non extreme” merupakan  formula terbaik untuk memajukan umat Islam tanpa menggugat kedudukan golongan  bukan Islam, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor . 

Katanya, pendekatan ini dirasakan sangat sesuai bagi menjamin keharmonian hidup  masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, seperti yang wujud di Sabah, negeri  yang menjadi tanah tumpah darah kepada 33 kumpulan pribumi yang bertutur dalam 50  bahasa dan 80 dialek etnik. 

“Justeru, sudah pasti kesederhanaan yang kita amalkan ini amat penting dalam kita  menjaga dan memupuk keharmonian dan perpaduan dalam negeri dan negara yang  berbilang kaum dan agama”, katanya pada Majlis Penutupan Konvensyen Pengurusan  Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia Kali Ke-2  di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Rabu. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim menyantuni dan  menyempurnakan penangguhan konvensyen itu. 

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan program-program keagamaan dan  kerohanian dengan memperuntukkan sejumlah RM176.16 juta pada tahun ini untuk  perbelanjaan operasi. 

Menurutnya, sudah menjadi tugas dan tanggungjawab Kerajaan memastikan rakyat  hidup dalam suasana aman, makmur dan sejahtera.  

“Perbezaan agama bukan penghalang untuk kita hidup rukun dan damai. Ia juga tidak  akan menjadi penyebab untuk kita hidup bermusuhan turun temurun”. 

“Agama itu mengajak kepada kebaikan serta memupuk perpaduan, selain mengajak  kepada nilai-nilai murni, hormati menghormati dan saling percaya mempercayai. Apatah  lagi dalam agama Islam itu sendiri yang asasnya adalah keamanan, kesejahteraan dan  kebahagiaan hidup”, tegasnya. 

Hajiji berkata, pentadbiran Islam di Malaysia telah berkembang dengan pesat seiring  dengan perubahan dan kemajuan yang dicapai selama lebih 60 tahun sejak merdeka. 

Menurutnya, penganjuran program ijtimak dapat memberikan pencerahan terhadap  beberapa isu berkaitan hal ehwal agama, sekaligus memberikan kesefahaman yang jitu  dalam urusan hal ehwal Islam di antara agensi-agensi agama yang terlibat. 

Beliau berkata, jaringan kerjasama dan kesatuan antara agensi agama Persekutuan  dengan agensi agama di negeri-negeri wajar diteruskan ke arah mengemaskini dan  memantapkan lagi pentadbiran dan pengurusan hal ehwal agama Islam di negara ini  demi kepentingan masyarakat Islam seluruhnya. 

Katanya, ia akan memastikan agensi agama Islam tidak ketinggalan, bahkan selari  dengan urusan pentadbiran kerajaan di negara ini, kerana kebersamaan dan kesatuan  adalah kekuatan bagi agensi agama dalam menghadapi cabaran pengurusan hal ehwal  Islam yang semakin mencabar. 

Hajiji juga yakin program ijtimak itu akan mempertingkatkan pengurusan hal ehwal  agama Islam di negeri-negeri di Malaysia, termasuklah di negeri Sabah. 

“Pengurusan hal ehwal Islam berbeza dengan pengurusan biasa kerana peranannya  bukan sekadar pentadbiran malah menjadi sumber rujukan serta panduan dalam  kehidupan masyarakat atau umat Islam pada setiap masa. Perkara ini bersesuaian  dengan teras Malaysia Madani, malah seiring dengan matlamat Dasar Hala Tuju Sabah  Maju Jaya yang menekankan perihal pembangunan dan pengupayaan modal insan bagi  menjelmakan daya cipta manusia dan akhlak yang terpuji”, tegasnya. 

Tamat