Sabah Berpotensi Bangun Ekonomi & Sosial Melalui Harta Wakaf

KOTA KINABALU: Sabah mempunyai potensi besar dalam membangunkan ekonomi  dan sosial masyarakatnya melalui perancangan projek pembangunan harta wakaf yang  telah dan bakal dilaksanakan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji  Noor. 

Namun katanya, pembangunan harta wakaf di Sabah perlu dipelbagaikan dan  dikembangkan dari masa ke semasa agar manfaatnya dapat membangunkan komuniti  Islam secara komprehensif.  

“Ia kerana Wakaf memainkan peranan penting dalam menyokong pelbagai tujuan sosial,  agama dan pendidikan. Sebenarnya, Wakaf adalah salah satu sumber ekonomi dan  pembangunan sosial umat Islam. Malah, transaksi wakaf telah memainkan peranan  yang penting dalam meningkatkan ekonomi umat Islam di seluruh dunia”, katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Kesedaran Wakaf dan Zakat  serta Pelancaran Wakaf Tunai Kesihatan dan Klinik Bergerak Pertama Waqaf An-Nur – Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sumbangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)  di Dewan Tun Sakaran Ballroom, Raia Hotel pada Isnin. 

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk  Dr Haji Mohd Arifin Mohd Arif. 

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa memberikan sokongan kepada MUIS untuk terus  memperkukuhkan, pemberdayaan dan pemerkasaan potensi wakaf dengan  memberikan penekanan terhadap kerjasama dan keterlibatan bersama pelbagai pihak  pemain industri wakaf di Malaysia. 

“Termasuklah daripada agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, entiti  perniagaan korporat yang ingin sama-sama menyumbang kepada usaha tersebut ke  arah menjadikan Sabah sebagai negeri mesra dan celik ibadah wakaf menjelang tahun  2030”, tegasnya. 

Hajiji berkata, Wakaf terus berkembang dengan hebatnya di zaman kegemilangan Islam  sehingga wujudnya begitu banyak universiti, sekolah, hospital serta fasiliti-fasiliti awam  lain yang dibina berasaskan kaedah dan model wakaf. 

Beliau berkata, antara yang termasyhur adalah Universiti Al-Azhar yang dibangunkan  serta diurus dengan menggunakan wakaf secara keseluruhannya. Sehingga ke hari ini,  kesinambungan pembangunan wakaf semakin pesat berkembang dan berlangsung  dengan jayanya di serata negara Islam.  

Menurutnya, di Sabah MUIS adalah pemegang amanah tunggal bagi semua hartanah  wakaf dan Rang Undang-Undang Enakmen Wakaf (Negeri Sabah) 2018 menyatakan  dengan jelas dibawah Seksyen 3(1)(a) yang memperuntukkan bahawa: “Majlis  merupakan pemegang amanah tunggal bagi semua jenis mawquf”. 

“Semoga dengan semua usaha yang diambil ini akan memastikan industri wakaf dapat  terus diperkukuhkan di negeri ini, mengikut acuan masa kini serta berlandaskan hukum  syarak. Saya berharap kesan daripada usaha ini boleh dinikmati oleh semua lapisan  masyarakat yang akhirnya dapat menjadikan wakaf sebagai wadah pemangkin kepada  pembangunan sosial dan ekonomi ummah”, tambahnya. 

Hajiji juga mengucapkan tahniah kepada Waqaf An-Nur Corporations dengan  kerjasama KPJ Healthcare Berhad kerana menyokong inisiatif pembangunan wakaf  kesihatan di negeri Sabah, menerusi termeterainya usahasama antara MUIS, Waqaf  An-Nur dan KPJ Sabah Specialist Sdn.Bhd bagi mewujudkan Klinik Bergerak Pertama  Waqaf An-Nur – MUIS di Sabah.  

Katanya, klinik bergerak itu adalah sumbangan wakalah (wakil) zakat perniagaan  Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan berharap perkhidmatan klinik itu bukan  hanya di sekitar Kota Kinabalu sahaja, sebaliknya turut diperluaskan ke daerah lain di  Sabah, agar lebih ramai akan menerima manfaatnya. 

Tamat