Kerajaan Perkasa Pembudayaan STIE di Sabah

KOTA KINABALU: Pembudayaan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) dalam  kalangan pelajar di Sabah akan terus diperkasakan bagi menarik minat mereka dalam  bidang berkenaan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, ini kerana kadar penglibatan pelajar di dalam bidang Sains, Teknologi,  Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terutamanya sains tulen semakin menurun di  negara ini.  

"Kerajaan Negeri memandang serius senario ini memandangkan kita perlu  menyediakan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal, sains dan  teknologi bagi memenuhi keperluan industri pada masa hadapan". 

"Untuk itu, Kerajaan Negeri mensasarkan 60:40 iaitu 60% Aliran Sains dan 40% Aliran  Sastera. Ini kerana kadar penglibatan pelajar STEM pada tahun ini hanya mencapai  28%. Justeru, pelbagai strategi dilaksanakan bagi memastikan sasaran ini tercapai",  katanya pada Majlis Pelancaran Mobile Exhibition “Experiencing Science: Enlightening  Innovation” Tour in Sabah di Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) Tanjung Aru pada  Rabu. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya  Negeri, Datuk Ir. Shahelmey Haji Yahya. 

Hajiji berkata, di peringkat Kerajaan Negeri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi  (KSTI) telah menggubal Pelan Strategik  

2022-2025 sebagai panduan dalam pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif untuk  memperkasakan ekosistem STIE di Sabah.  

Menurutnya, antara program yang dilaksanakan ialah Program STEM Fiesta bersama  24 Pejabat Pendidikan Daerah, Karnival Sains Sabah, Kembara Sains Borneo dan  Majlis Anugerah Sains Sabah. Setakat ini kesemua 1296 buah sekolah telah mendapat  manfaat daripada program-program yang telah dilaksanakan. 

"Saya berharap agar KSTI, Jabatan Pendidikan Sabah dan semua agensi berkaitan  dapat mencapai sasaran sekurang-kurangnya 40% pelajar mengambil bidang sains  menjelang 2025 di negeri ini", tegasnya.

Katanya, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) telah dikenalpasti sebagai salah satu  pemangkin penting untuk memacu pembangunan sosioekonomi di dalam Rancangan  Malaysia Ke-12 dan juga Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).  

Beliau berkata, penekanan kepada STI sebagai pemangkin penting pembangunan  sosioekonomi yang lebih strategik dan dinamik seiring dengan trend global, akan  berupaya meningkatkan pengetahuan, inovasi, kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat. 

Sehubungan itu, katanya Kerajaan Negeri melalui KSTI sentiasa komited dalam usaha  meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STI termasuk  memperkasakannya dari masa ke semasa di Sabah. 

Menurutnya, beberapa kolaborasi telahpun dimeterai dengan beberapa kementerian di  peringkat Persekutuan seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),  Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Kementerian Pembangunan Usahawan  dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Sumber Manusia (KSM) disamping kolaborasi  strategik dengan institusi pendidikan awam seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS)  dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), selain swasta. 

Menyentuh Mobile Exhibition “Experiencing Science: Enlightening Innovation” Tour in  Sabah, Hajiji berkata, Sabah merupakan negeri pertama di Malaysia dan ketiga di Asia  yang melaksanakan program kembara pameran sains interaktif itu. 

Katanya, KSTI dengan kerjasama China Science Technology Museum dan Guangxi  Science Technology Museum akan mengadakan siri jelajah pameran interaktif sains  bergerak itu di 14 daerah terpilih. Kerjasama ini akan berlangsung selama tiga (3) tahun  sehingga 26 September 2026.  

"Pameran ini amat bermakna kerana Kerajaan Republik Rakyat China telah  melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif baharu dalam bidang STI, dan berada di  kedudukan ke-11 dalam Indeks Inovasi Global 2022. Keadaan ini telah meletakkan  mereka sebagai kuasa besar sains dan teknologi terkemuka dunia". 

"Pameran ini juga salah satu inisiatif KSTI memupuk minat pelajar terhadap STEM di  negeri ini, selain ia salah satu teras dalam agenda dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.  Saya juga mahu peluang kerjasama dengan China diperluaskan khususnya dalam  bidang Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan lain-lain teknologi pada  masa hadapan", tegasnya. 

Tamat