Program Untuk Noktahkan Kemiskinan Tegar

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui secretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) sedang  menyusun dan akan melaksanakan program-program untuk menoktahkan kemiskinan  tegar di negeri ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, antara tindakan  kerajaan ialah memperuntukkan RM125 juta setiap tahun untuk Program Rumah SMJ  bagi membina rumah untuk rakyat miskin tegar yang tersenarai dalam e-Kasih di seluruh  negeri. 

“Kerajaan juga akan memperuntukkan sejumlah RM175 juta khas untuk program  membasmi kemiskinan dengan mendapatkan peluang pekerjaan kepada golongan  sasar bagi membolehkan mereka terkeluar dari kategori miskin tegar”. 

"Kerajaan Negeri juga menyambut baik komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar  Ibrahim mengenai usaha untuk mensejahterakan rakyat dengan langkah ke arah  menoktahkan kemiskinan yang bertepatan dengan ajaran Rasulullah SAW,” katanya  pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1445H/2023M di Sabah  International Convention Centre (SICC) pada Khamis. 

Hajiji berkata, pembinaan tamadun yang gemilang bergantung kepada pencapaian  sesebuah bangsa atau ummah kerana prestasi ummah yang baik pasti melahirkan  tamadun agung yang memberi kesejahteraan kepada umat sejagat.  

Sebab itu katanya, pembangunan insan merupakan aspek penting yang terkandung  dalam Dasar Hala Tuju SMJ yang juga selari dengan kerangka pembangunan insan  Malaysia Madani ke arah “Baldatun Thoyyibatun wa Rabbhun Ghafur” atau negeri yang  baik yang mendapat keredhaan dan keampunan Tuhan yang maha pengasihani. 

Beliau berkata, selaras dengan tuntutan itu Kerajaan Negeri memberi penekanan  kepada aspek pendidikan dan latihan di bawah Hala Tuju SMJ dengan matlamat  melahirkan modal insan yang berilmu, mahir dan berketrampilan, malah lebih menjurus  kepada melahirkan generasi pewaris yang berilmu dan berupaya mengendali segala  urusan dan aktiviti dalam pelbagai aspek, seperti politik, ekonomi, sosial dan sebagainya  secara bijaksana, berintegriti dan adil, demi kesejahteraan negeri dan seluruh rakyat.

“Atas faktor itu dan selari dengan teras kedua Hala Tuju SMJ iaitu Pembangunan Modal  Insan dan Kesejahteraan Rakyat, Program Felo SMJ 2.0 diteruskan pada tahun ini.  Inisiatif Felo SMJ ini merupakan usaha Kerajaan Negeri untuk memperkasakan  pembangunan modal insan di negeri ini. Kerajaan Negeri memberi tumpuan  sepenuhnya kepada usaha memperkasa modal insan agar sentiasa kompeten,  berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti”. 

“Program yang bermula awal bulan ini, selain graduan, kita juga membuka ruang kepada  pelajar lepasan diploma, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang setaraf  dengannya. Mereka ditempatkan di jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan  kerajaan (GLC) dengan matlamat untuk menyediakan pelapis kepimpinan Sabah pada  masa akan datang”, tegasnya. 

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri berada pada landasan yang tepat selaras dengan  pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ, yang kini hasilnya telah dapat disaksikan dan  rasakan, terutama dalam usaha membangunkan semula ekonomi negeri menerusi  konsep mesra pelabur dan mempermudahkan urusan para peniaga serta pelabur luar  yang ingin menjalankan perniagaan di negeri ini. 

Katanya, selaku pemimpin ummah, Nabi Muhammad SAW sering mengingatkan  pentingnya ukhuwah dan perpaduan dalam bermasyarakat dan bernegara, kerana  persengketaan dan perbalahan di kalangan umat, akan melemahkan dan merugikan  mereka sendiri, yang akhirnya akan membawa kepada perpecahan dan kehancuran.  

Menurutnya, budaya adu domba, dendam kesumat, benci membenci, fitnah memfitnah  dan berpuak-puak, bukan hanya akan merencatkan usaha membina negara yang  bersatu-padu, stabil dan progresif, malah akan menjadikan kita berpecah-belah, lemah  dan mudah ditindas.  

“Dalam konteks negeri Sabah, semangat kekitaan dan perpaduan kaum perlu sentiasa  dijaga dan dipelihara. Sekarang adalah masa dan detiknya untuk kita mempertingkatkan  lagi silaturrahim, membina ukhuwah dan kesepakatan, kerana kita perlu merencana dan  mengatur masa hadapan yang lebih kondusif dan cemerlang, selaras dengan gagasan  Malaysia Madani dan Hala Tuju SMJ yang matlamatnya ke arah mencipta kemakmuran  dan kesejahteraan yang holistik untuk dinikmati bersama”, tambahnya. 

Hajiji berkata, sambutan Maulidur Rasul diraikan setiap tahun dengan matlamat agar  semangat cinta dan kasih kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW terus segar  di dalam hati sanubari setiap umat Islam. 

Terdahulu, Hajiji bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji  Juhar Datuk Haji Mahiruddin dan ribuan umat Islam menyertai perarakan dari Padang  Merdeka ke SICC. 

Tamat