Manfaatkan keindahan, kekayaan budaya Sabah untuk karya bermutu tinggi

KOTA KINABALU: Keindahan Sabah dan kepelbagaian seni budaya serta adat resam  yang di negeri ini Sabah perlu diterokai dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pejuang  sastera untuk menghasilkan karya yang bermutu tinggi. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata ini seiring dengan  komitmen kerajaan negeri yang sentiasa menyokong usaha dan aktiviti untuk  mengangkat seni budaya serta adat tradisi masyarakat tempatan di negeri ini. 

“Sabah sangat luas dan kaya dengan budaya serta adat resam. Negeri ini saja  mempunyai 35 etnik dan 217 sub etnik yang bertutur dalam lebih 50 bahasa dan 80  dialek etnik. 

“Keindahan khazanah alam di negeri ini dengan bentuk muka buminya yang bergunung ganang, pantainya yang luas dan pulau-pulaunya yang indah memukau, sepatutnya  pejuang sastera dan budayawan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan itu untuk  menghasilkan karya yang indah dan bermutu tinggi. 

“Justeru, pemilihan Kota Kinabalu sebagai Tuan Rumah Hari Sastera Ke-19 ini, amatlah  dialu-alukan. Semoga majlis ini dapat mengangkat seni dan sastera, bahasa dan  budaya orang Sabah ke pringkat nasional dan global,” katanya ketika melancarkan Hari  Sastera Ke-19 di Hotel Promenade di sini, pada Jumaat. 

Ketua Menteri berkata buku seperti antologi puisi, koleksi cerpen dan novel, misalnya,  adalah bahan kesusasteraan yang mempunyai pengaruh yang besar dalam  masyarakat, terutama jika penulisnya itu seorang sasterawan yang terbilang. 

“Sebagai seorang yang meminati kesusasteraan Melayu, saya ingin melihat di Sabah  ini mempunyai ramai penulis atau karyawan bukan sahaja terkenal, tetapi tersohor dan  termasyhur. Kita mempunyai ramai penulis dan penyair seperti Hasyuda Abadi, Jasni  Matlani, Juri Durabi, Siti Rahmah G Ibrahim, Abdul karim Gullam, sekadar menamakan  segelintir daripada mereka.  

“Pada era 60an hingga 70an, kita mempunyai Jamdin Buyung, K.Bali, Saidi Lampoh  (S.Mala), Ismail Abbas (Amil Jaya), M.A. Rahman, Noraini Haji Salleh dan banyak lagi.  Tetapi nama-nama tersebut tidak terangkat hingga ke peringkat nasional – sebagaimana nama-nama besar seperti Abdullah Hussain, Arenawati, Usman Awang,  Shahnon Ahmad, Anwar Ridwan dan Lim Swee Tin. 

“Justeru, saya rasa, sudah tiba masa, penyair-penyair dan penulis dari Sabah di  ketengahkan di peringkat nasional,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau berharap penglibatan karyawan dan penggiat seni dapat  menyemarakkan lagi dunia seni dan sastera, bahasa dan budaya di negeri Sabah.  

“Selaras dengan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam pembangunan budaya pelbagai  etnik di Sabah, pihak Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) menetapkan tujuh  keutamaan untuk dilaksanakan, antaranya pendigitalan seni budaya, pemuliharaan  budaya, penyelidikan dan dokumentasi budaya dan pengembangan seni dan  perlindungan harta intelek. 

“Saya juga yakin, kegiatan bahasa dan sastera di Sabah ini akan terus menyerlah  kerana kita mempunyai badan yang bergiat aktif memperjuangkan bahasa dan sastera.  Semoga sambutan Hari Sastera ini akan menjadi pemangkin kepada gagasan lebih  besar untuk menjadikan Sabah sebagai Dataran Bahasa Sastera dan Budaya yang  terpenting di rantau ini,” katanya. 

Sempena majlis itu, beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan  mempertimbangkan satu anguerah khas kepada pejuang sastera di Sabah. 

“Perkara ini sudah dibincangkan dengan Datuk Ariffin (Menteri Sains, Teknologi dan  Inovasi Sabah, Datuk Dr Haji Mohd Ariffin Haji Mohd Arif),” katanya. 

Selain Mohd Arifin, turut hadir ialah Presiden Gapena, Datuk Haji Zainal Abidin Bin  Datuk Wira Borhan dan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia  Merangkap, Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa), Datuk Jasni Matlani. 

Tamat