KM terima kunjungan Konsul Indonesia baharu di Tawau

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini  menerima kunjungan hormat Konsul Republik Indonesia (KRI) di Tawau yang baharu,  Bapak Dino Nurwahyudin, di Menara Kinabalu, di sini. 

Bapak Dino berkata, kunjungan itu bertujuan memperkenalkan dirinya secara rasmi  kepada Ketua Menteri selepas memulakan tugas sebagai Ketua Perwakilan KRI di  Tawau pada 9 Julai lalu, selain membincangkan sasaran dan cadangan beliau  sepanjang tempoh penugasan di Sabah. 

Katanya, pertemuan itu turut memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar  pandangan mengenai perkara berkepentingan bersama serta mengenal pasti ruang  yang boleh diterokai bagi memperkukuh kerjasama dua hala antara Sabah dan  Indonesia. 

"Hubungan antara Indonesia dan Sabah begitu erat dan telah terjalin sekain lama. Kita  juga berharap adanya lebih banyak penerbangan terus menghubungkan Indonesia dan  Sabah bagi memudahkan integrasi rakyat kedua-dua wilayah", katanya. 

Bapak Dino mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan diplomatik, termasuk  pernah berkhidmat sebagai Konselor di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala  Lumpur serta memegang pelbagai jawatan di Kementerian Luar Negeri Indonesia dan  perwakilan diplomatik Indonesia di luar negara. 

Beliau juga pernah berkhidmat di KRI Tawau dalam bidang Penerangan, Sosial dan  Kebudayaan pada 2024 hingga 2025, sebelum dilantik sebagai Ketua Perwakilan KRI  Tawau. 

Turut hadir ialah isteri beliau, Ibu Gain Nrangwesty. 

Tamat