Rakyat Sabah bangga, teruja PM hadir Pesta Kaamatan

PENAMPANG: Kemuncak sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri kali ini mencatat  sejarah tersendiri apabila turut dihadiri pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Anwar  Ibrahim. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kehadiran Perdana  Menteri untuk meraikan penutupan sambutan perayaan Pesta Kaamatan sesungguhnya  melahirkan rasa bangga dan teruja kepada rakyat Sabah khususnya dari suku kaum  Kadazandusun Murut Rungus (KDMR). 

“Kaamatan, adalah perayaan yang berjaya mengangkat martabat budaya dan adat  resam suku kaum Kadazan Dusun Murut dan Rungus di Sabah, dan kami bangga  dengannya kerana Sabah turut dikenali dunia dengan penganjuran acara Kaamatan ini. 

“Justeru, rakyat Sabah khususnya dari suku kaum Kadazan Dusun Murut dan Rungus  (KDMR), tentu sekali turut berasa bangga dan teruja dengan kehadiran Perdana Menteri  pada hari ini. 

“Ini adalah satu lagi detik bersejarah dalam siri sambutan perayaan Pesta Kaamatan  Peringkat Negeri. Sesungguhnya, bukan mudah untuk kita mendapat peluang sebegini  rupa, pemimpin nombor satu negara yang sentiasa sibuk dengan jadual yang sangat  padat, hadir bersama-sama kita di dalam dewan KDCA yang terkenal ini,” katanya yang  turut disambut dengan tepukan gemuruh. 

Beliau berkata demikian sempena majlis penutupan Sambutan Pesta Kaamatan  peringkat negeri Sabah 2023 di Dewan KDCA di sini pada Rabu. 

Penutupan Pesta Kaamatan itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah,  Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar Bin Datuk Haji  Mahiruddin. 

Hadir sama isterinya, Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr) Hajah Norlidah Binti Tan Sri  Datuk R.M Jasni dan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim. 

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I/Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan  Peringkat Negeri Sabah 2023, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan; Huguan  Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan kepada program yang  bercirikan kebudayaan dan kemasyarakatan kerana ia berupaya mengeratkan  silaturahim, menyatupadukan rakyat dan memperteguhkan hubungan masyarakat demi  kesejahteraan dan keharmonian negeri.  

“Dalam konteks Pesta Kaamatan, meski pun ia disambut oleh masyarakat KDMR tetapi  perayaan ini turut dimeriahkan oleh semua lapisan masyarakat di negeri ini. Amalan  kongsi raya atau pesta kebudayaan oleh semua kaum merupakan keunikan kita di  Sabah yang harus dipertahankan sejajar dengan konsep Malaysia Madani.  

“Marilah kita bersama-sama memelihara dan meningkatkan lagi perpaduan, toleransi  dan semangat kekitaan yang tinggi sesuai dengan tema pesta Kaamatan pada tahun ini  iaitu “Kaamatan Membudayakan Perpaduan’. 

“Tema ini sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang matlamatnya ke arah  membentuk sebuah negara bangsa yang sejahtera, maju dan progresif; politik dan  ekonominya teguh, kerajaan yang adil lagi saksama, serta negara yang makmur dan  sentosa,” katanya. 

Beliau berkata, hanya dengan kestabilan dan perpaduan sahajalah yang mampu  membawa sesebuah negara dan rakyatnya maju ke hadapan, sekali gus dihormati dan  disegani oleh masyarakat antarabangsa.  

“Sememangnya perpaduan dan kepelbagaian suku kaum, budaya serta kepercayaan  agama di Sabah adalah aset penting yang perlu terus dipelihara dan dipertahankan oleh  rakyat negeri ini pada setiap masa.  

“Keharmonian serta warna-warni seni budaya di negeri ini menjadikan Sabah unik dan  istimewa, di samping memiliki keindahan alam semula jadi yang pastinya berupaya  menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong dari dalam dan luar negara. 

“Justeru, Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha memelihara dan menjaga khazanah  budaya yang kita warisi ini, disamping memastikan Pelan Pembangunan Hala Tuju  Sabah Maju Jaya (SMJ), yang kini berada di landasan yang tepat, berjalan seiring antara  kemajuan dan pemodenan dengan penerapan nilai-nilai budaya yang tinggi,” katanya. 

Tamat