RM1 bilion untuk kerja menaik taraf CQIS mampu beri kesan positif

KOTA KINABALU: Peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk memulakan kerja menaik taraf prasarana dan keupayaan kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan  Keselamatan (CIQS) di sempadan Sabah dan Sarawak, mampu memberi kesan positif  interaksi di kawasan sempadan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji  Noor. 

Beliau berkata pembinaan CIQS di pintu masuk untuk pemeriksaan rentas sempadan  menjadi agenda utama untuk menikmati kesan positif interaksi di kawasan sempadan,  berikutan perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan.  

“Interaksi ekonomi yang rancak akan meningkatkan hasil pendapatan negara.  Pembinaan CIQS membolehkan rakyat melalui pemeriksaan kemasukan secara sah  dan mengelakkan mereka masuk secara haram melaui jalan jalan tikus yang tidak  diwartakan.  

“Ini sekali gus mengekang aktiviti haram termasuk penyeludupan jenayah lain di  sempadan,” katanya ketika merasmikan Pembukaan Sidang Geostrategik Negeri Sabah  (SGS) 2023 di sini pada Selasa. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri  Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G  Kitingan 

Pada awal bulan Januari lalu, Kementerian Kewangan telah memberikan kelulusan  awal berjumlah RM1 bilion untuk memulakan kerja-kerja menaik taraf prasarana dan  keupayaan CIQS di sempadan Sarawak dan Sabah. 

Mengenai sidang itu, Hajiji berkata penganjuran sidang itu tepat pada masanya kerana  isu perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan memerlukan tindakan teliti dan  segera di semua peringkat.  

Sidang pada hari ini juga katanya adalah satu platform untuk semua entiti agensi  berkumpul dalam menyediakan dasar -dasar jangka pendek, sederhana mahupun  jangka masa panjang. 

“Kedudukan kita yang bersempadan dengan Kalimantan menjadikan negara ini  khususnya Sabah mempunyai hubungan erat dengan Indonesia. Saya mengambil maklum segala usaha ahli akademik yang telah menjalankan kajian dengan penuh  tanggungjawab dan kebanyakkan kajian ini adalah bersifat holistik; lengkap dari semua  aspek baik dari segi keselamatan, ekonomi serta sosial. 

“Justeru, sidang pada hari ini merupakan kesinambungan agar hasil-hasil kajian dan  penulisan ini dapat disintesiskan dengan maklumat di lapangan seterusnya  diterjemahkan dalam bentuk dasar dan pelan tindakan bermatlamatkan kemakmuran  dan kesejahteraan Negeri Sabah,” katanya. 

Beliau juga mahu kolaborasi dan koordinasi antara ahli akademik dan penggubal dasar  perlu dipertingkatkan agar satu output yang optimum berupaya dihasilkan di akhir sidang  ini nanti.  

“Saya yakin dan percaya gabungan kepelbagaian kepakaran dalam sidang ini mampu  mencetus pembugaran idea idea dan semak silang maklumat yang perlu dikongsi  sesama agensi,” katanya. 

Sebanyak 88 agensi dan lebih 100 peserta menyertai sidang yang julung kali dianjurkan  itu. 

Tamat