KM: Generasi muda perlu dipersiapkan dengan integriti sejak awal

KOTA KINABALU: Generasi muda hari ini mesti dipersiapkan dengan didikan bermoral  berlandaskan integriti kerana mereka adalah pemimpin yang bakal menentukan masa  depan negara, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Menurutnya, nilai-nilai murni seperti kejujuran, amanah dan tanggungjawab perlu  dibentuk seawal usia di rumah, kemudian diperkukuh di sekolah serta diamalkan dalam  kehidupan seharian. 

“Program Kedai Jujur adalah platform terbaik untuk pelajar mempraktikkan nilai integriti  setiap hari. Ia latihan berharga untuk mempersiapkan mereka menghadapi cabaran  dunia luar yang lebih kompleks,” katanya ketika merasmikan Program Kedai Jujur 2025  di Sekolah Kebangsaan Mutiara, di sini pada Selasa. 

Beliau menegaskan, mendidik anak-anak agar berpegang pada integriti bukanlah  tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata,  sebaliknya harus digalas bersama seluruh masyarakat. 

Katanya, kejayaan membudayakan integriti hanya dapat dicapai apabila semua pihak  berganding bahu menjadikannya amalan dalam setiap aspek kehidupan. 

Hajiji yakin bahawa memupuk kejujuran dan tanggungjawab dalam diri anak-anak sejak  kecil adalah asas kepada pembinaan barisan pemimpin masa depan yang berintegriti  dan berwibawa. 

“Konsep Kedai Jujur ini boleh dijadikan benteng awal bagi menghalang salah laku tidak  berintegriti dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada tiga agensi utama iaitu SPRM, Jabatan  Pendidikan Negeri Sabah dan SuriaGroup – atas komitmen luar biasa mereka  melancarkan Program Kedai Jujur 2025. 

Katanya, permuafakatan antara sektor kerajaan, korporat dan institusi pendidikan  mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat yang holistik. 

Hajiji turut menyeru agar lebih banyak sekolah menyertai program itu serta  mengingatkan bahawa integriti bermula di rumah, di sekolah dan di setiap sudut  kehidupan.

Katanya, konsep Kedai Jujur berasaskan amalan masyarakat Sabah sejak dahulu yang  mengamalkan gerai jualan tanpa penjaga, meletakkan barangan bersama tabung  bayaran, dan mempercayai kejujuran pembeli. 

“Budaya ini menjadi asas kepada program Kedai Jujur di sekolah, agar nilai tersebut  terus hidup dalam kalangan generasi baharu,” katanya. 

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada SuriaGroup, syarikat berkaitan kerajaan  (GLC) tempatan yang menjadi perintis program itu dan berharap usaha tersebut menjadi  inspirasi kepada syarikat lain untuk tampil menyumbang dalam memperkukuh budaya  integriti, khususnya di kalangan anak-anak Sabah. 

Katanya, Program Kedai Jujur 2025 dilaksanakan di 10 sekolah seluruh Sabah termasuk  di Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu, dengan SK Mutiara  menjadi lokasi pelancaran rasmi. 

Beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan khas sebanyak RM20 ribu kepada SK  Mutiara untuk membiayai aktiviti sekolah tersebut. 

Tamat