KM: Usahawan Digesa Tambah Baik Produk, Rebut Peluang Yang Disediakan

KOTA KINABALU: Peniaga dan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) digesa  agar menambah baik produk dan kualiti pembungkusan bagi meningkatkan imej produk  masing-masing dan seterusnya berupaya memacu jualan, kata Ketua Menteri, Datuk  Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Dalam masa sama, beliau meminta semua usahawan merebut bantuan dan kemudahan  yang disediakan oleh kerajaan negeri mahu pun Persekutuan. 

“Pelancaran syarikat pembungkusan QPACK Sabah juga adalah tepat pada masanya.  Saya melihat peranan QPACK Sabah dalam industri pembungkusan di negeri ini  mampu menjadi tonggak kepada perkembangan IKS dan secara tidak langsung  merancakkan pola industri niaga di negeri ini. 

“Dalam industri perniagaan, pembungkusan memainkan peranan yang penting bagi  sesuatu produk itu kerana pembungkusan ini akan menjadi `trademark ’ serta imej  kepada produk tersebut dan ini sekali gus menjadikan ia sebagai satu indikator  pemasaran ke atas produk itu. 

“Kepada usahawan di negeri ini, ambillah peluang untuk meningkatkan produk yang  dihasillkan, bukan saja dalam aspek kualiti malah pembungkusan yang menarik, agar  dapat bersaing dengan produk dari luar,” katanya ketika merasmikan Pelancaran  QPACK Sabah Sdn Bhd di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada  Ahad. 

Hajiji berkata, peruntukan khas tambahan dalam Belanjawan 2023 sebanyak RM600  juta untuk komuniti peniaga kecil di Sabah dan Sarawak,adalah inisiatif yang baik yang  perlu diambil peluang oleh peniaga serta usahawan IKS untuk meningkatkan  perniagaan mereka. 

“Sudah pasti peruntukan khas tambahan ini akan membantu peniaga kecil dan  usahawan IKS di negeri ini, khususnya untuk menambah baik dan mempergiatkan  promosi produk mereka. 

“Selain peruntukan khas ini, kerajaan negeri turut memperuntukkan sejumlah RM6.17  juta kepada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan pada tahun ini, bagi  mempergiatkan promosi produk-produk Sabah ke pasaran domestik dan antarabangsa.

“Dengan pelbagai peruntukan dan bantuan diberikan kerajaan selain pelancaran  syarikat pembungkusan QPACK Sabah, saya berharap kita mampu melahirkan  usahawan IKS yang dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan dan  antarabangsa,” katanya. 

Hajiji berkata kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada sebarang usaha yang  dilakukan oleh individu atau syarikat termasuk QPACK untuk merancakkan  pembangunan ekonomi di negeri ini.  

“Saya melihat kehadiran syarikat seperti ini turut mewujudkan peluang pekerjaan  kepada anak-anak di negeri ini. Saya berharap QPACK yang dimiliki anak jati Sabah  ini akan menjadikan negeri ini sebagai salah sebuah hub evolusi pembungkusan  terbesar suatu hari nanti,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau berharap peniaga dan usahawan IKS walau dari mana berasal,  kampung mahu pun luar bandar, jika berusaha untuk maju ke hadapan, pasti akan  berjaya. 

Tamat