KM: Tujuh Jawatankuasa Mpws Diminta Bantu Kerajaan Perkasakan Pembangunan Wanita

KOTA KINABALU: Tujuh jawatankuasa yang diwujudkan di bawah Majlis Penasihat  Wanita Sabah (MPWS) diminta membantu kerajaan memperkasakan pembangunan  wanita di negeri ini, khususnya di luar bandar. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata ini termasuk  memperhebatkan aktiviti yang boleh meningkatkan sosio ekonomi wanita di seluruh  negeri ini.  

“MPWS melalui tujuh jawatankuasa ini perlu memperhebatkan usaha untuk membuat  program yang memberi manfaat kepada wanita dan yang boleh menambah sumber  ekonomi mereka.  

“Saya mahu MPWS fokus kepada usaha untuk menambah sumber pendapatan mereka  khususnya wanita yang terbabit sebagai peniaga atau usahawan Industri Kecil dan  Sederhana (IKS). Banyak bantuan disediakan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan  bagi membantu golongan peniaga di negara ini. 

Dalam hal ini, MPWS melalui jawatankuasa yang berkaitan boleh membantu  menyebarluaskan segala bentuk bantuan berkenaan kepada rakyat keseluruhannya,”  katanya pada Majlis Angkat Sumpah Jawatan Pengerusi dan Ahli-Ahli MPWS Sesi  2023-2024 di Pejabat Ketua Menteri di Menara Kinabalu, di sini pada Isnin. 

Tujuh jawatankuasa kecil yang diwujudkan di bawah MPWS iaitu Ekonomi, Pendidikan,  Sosial, Kesihatan, Undang-Undang, Gender, Wanita dan Media, bertujuan  menggerakkan usaha dan memajukan hala tuju dalam menyejahterakan rakyat khasnya  kaum wanita. 

Mengulas lanjut, Ketua Menteri juga mahu MPWS bertindak sebagai badan pemikir dan  pelaksana program serta dasar bagi menyatukan usaha ke arah memajukan wanita di  negeri ini. 

Beliau berkata ini bagi memastikan wanita di negeri ini tidak ketinggalan dalam arus  pembangunan dan kemajuan yang dibawa oleh kerajaan.

Kita mahu wanita lebih berdaya saing dan berpengetahuan supaya mereka terus maju  serentak dengan perubahan dan pembangunan negara. Menuju ke arah itu, MPWS turut  menggalas tanggungjawab berkenaan,” katanya. 

Hajiji berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5.83 juta kepada Jabatan  Hal Ehwal Wanita Sabah pada tahun ini, untuk membiayai pelbagai program kepimpinan  dan pembangunan wanita.  

!Kemudahan pinjaman mikro kepada golongan wanita akan diteruskan dengan  peruntukan sebanyak RM10 juta yang disalurkan kepada Yayasan Usaha Maju (YUM).  Pembangunan wanita adalah salah satu agenda penting yang menjadi tumpuan  kerajaan dalam konteks pembangunan negeri,” katanya. 

Beliau turut berharap seramai 12 ahli yang dilantik menerajui MPWS bagi sesi 2023- 2024 akan memberikan sumbangan idea, masa dan tenaga untuk melaksanakan  sebaiknya agenda pembangunan wanita di Sabah. 

Sementara itu, seramai 12 Ahli Induk MPWS Bagi Sesi 2023-2024 ialah Pengerusinya,  Datuk Dr Tarsiah TZ Taman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi; Timbalan  Pengerusi MPWS dan Pengerusi Jawatankuasa Gender, Baiyah Ag Mahmon;  Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang, Datuk Noraini Idris; Pengerusi  Jawatankuasa Pendidikan, Datin Malianah Ugau dan. Pengerusi Jawatankuasa Sosial,  Prof Madya Dr Muhammad Idris Bullare serta Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan  Media, Eliza Goh. 

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Datuk Redonah Bahanda; Pengerusi  Jawatankuasa Kesihatan, Dr Jiloris Frederick Dony; Timbalan Pengerusi Kesihatan, Dr  Nirmal Kaur; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Prof Madya Dr Imelda  Albert Gisip; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Gender, Fauziaton Ag Samd dan  Timbalan pengerusi Jawatankuasa Undang-undang, Rosemary Ahping. 

Yang turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk  James Ratib, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia  Ng, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Haslina Ismail.  

Tamat