Hajiji Harap Jabatan Kastam Dapat Meningkatkan Pungutan Hasil

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berharap  Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah yang berjaya memungut hasil  sebanyak RM 2,098,625,366.45 bagi tahun 2022, dapat dipertingkatkan lagi pada tahun  2023.

Katanya, peranan JKDM amat penting dalam pembangunan negara kerana kesemua  hasil yang dikutip itu akan disalurkan untuk menjana projek-projek pembangunan dan  kesejahteraan rakyat.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga JKDM Zon Sabah di atas  kejayaan memungut hasil bagi tahun 2022. Saya berharap agar jumlah hasil pungutan  ini dapat dipertingkatkan lagi bagi tahun 2023 ini.”  

“Walaupun tahun 2023 merupakan tahun mencabar untuk penjawat awam terutamanya  dari segi ekonomi. Sebagai pemungut hasil utama negara sudah pasti JKDM akan  menempuh pelbagai rintangan dan cabaran ini”, katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Makan Malam Amal anjuran Persatuan Pegawai  Kanan Kastam Sabah di Grand Ballroom Shangrila Tanjung Aru Resort, hari ini. Teks  ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji  Masidi Manjun.

Hajiji percaya, selagi warga kastam terus bekerja dengan etika perkhidmatan jabatan  iaitu Amanah, Berkhidmat, Ikhlas, Dedikasi (ABID) lebih banyak hasil dapat dikutip  kerana slogan ABID juga dapat membantu meningkatkan prestasi dan keunggulan imej  JKDM.

Katanya, JKDM layak digelar Wiran Ekonomi Negara atas komitmen dalam  meningkatkan ekonomi negara, selain telah memainkan peranan yang penting dalam  menyediakan fasilitasi dan kemudahan dalam menggiatkan pelabur luar terutama ke  negeri Sabah.  

Menurutnya, ekonomi gelap (black economy) yang wujud daripada aktiviti penyeludupan  yang berleluasa daripada sumber yang menyalahi undang-undang sebuah negara perlu  dihapuskan serta merta kerana ia memberi Impak yang negatif kepada negara.

Beliau berkata, pihak Kastam harus sentiasa waspada dan bersiap sedia dalam usaha  menghapuskan aktiviti penyeludupan dalam era dunia tanpa sempadan, yang  menggunakan bantuan teknologi komunikasi dan maklumat terkini yang semakin  canggih.

“Justeru usaha harus dilipatgandakan bagi membanteras setiap bentuk kegiatan  penyeludupan di negeri ini. Saya percaya Kastam mempunyai kekuatan yang cukup dari  segi tenaga manusia, logistik dan sistem bagi menangani aktiviti penyeludupan di negeri  ini. Adalah menjadi tanggungjawab Jabatan ini untuk memastikan supaya hasil negara  tidak jatuh ke tangan yang tidak berhak”, tegasnya.

Hajiji berharap warga JKDM mengamalkan Integriti yang kukuh dan utuh dalam  melaksanakan tugas dan menolak budaya rasuah agar tidak menjadi amalan di negara  ini. Tanpa Integriti yang kukuh dan utuh, sudah pasti sesebuah negara itu akan musnah.

Beliau juga berharap berharap warga JKDM terus berganding bahu dan berusaha keras  untuk membantu negara memacu semula pertumbuhan ekonomi ke suatu tahap yang  lebih baik.  

Tamat