KM terima kunjungan hormat Mohd Razali sempena persaraan

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima  kunjungan hormat Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab,  sempena persaraan beliau di Menara Kinabalu, di sini, hari ini. 

Pertemuan itu menjadi kesempatan bagi Hajiji merakamkan penghargaan dan terima  kasih kepada Mohd Razali atas khidmat bakti, komitmen serta kerjasama yang diberikan  sepanjang menerajui Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah. 

Hajiji turut menghargai peranan Mohd Razali dalam memperkukuh hubungan dan  kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, khususnya jabatan  dan agensi Persekutuan dalam menyokong pelaksanaan agenda pembangunan serta  penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. 

Beliau berharap hubungan baik dan sinergi yang terjalin antara kedua-dua kerajaan  akan terus diperkukuh demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah. 

Mohd Razali pula merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Menteri  serta Kerajaan Negeri atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang beliau  menjalankan tugas sebagai Setiausaha Persekutuan Sabah. 

Beliau dilantik ke jawatan itu berkuat kuasa 2 September 2025, menggantikan Dato Seri  Haji Rosli Isa yang bersara pada 26 Ogos tahun sama, dan akan bersara wajib pada 14  Oktober 2026. 

Pada pertemuan itu, Hajiji turut menyampaikan ucapan selamat bersara kepada Mohd  Razali serta mendoakan beliau dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan kehidupan  yang bahagia bersama keluarga selepas menamatkan perkhidmatan. 

Tamat