KKR, Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri & Penyelidikan rangkul johan Koir Simfoni Integriti 2025

KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya Negeri (KKR) dan Pejabat Hal Ehwal Dalam  Negeri dan Penyelidikan dinobatkan sebagai johan bagi kategori masing-masing dalam  Pertandingan Koir Simfoni Integriti 2025 yang melabuhkan tirainya di Auditorium Menara  Kinabalu pada Selasa. 

KKR muncul juara kategori kementerian selepas menewaskan sembilan pasukan lain  sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta trofi. Naib juara  dimenangi oleh Kementerian Kewangan Negeri yang menerima hadiah wang tunai  RM2,500 dan trofi, manakala tempat ketiga diraih Kementerian Pelancongan,  Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri yang memperoleh hadiah RM2,000 dan trofi.  

Bagi kategori Jabatan Ketua Menteri, Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan  muncul sebagai johan dengan memenangi hadiah wang tunai RM3,000 serta trofi.  Jabatan Tanah dan Ukur Negeri pula menduduki tempat kedua dengan hadiah RM2,500  dan trofi, diikuti Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri di tempat ketiga dengan hadiah  RM2,000 dan trofi. 

Majlis penutupan pertandingan itu sempena Program Pelaksanaan Varsha Integriti  2025,disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji  Safar Untong. Turut hadir, barisan kepimpinan tertinggi pentadbiran negeri, termasuk  Timbalan-Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hanafiah Mohd Kassim dan  Datuk Hajah Norlijah Haji Danin, Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh,  Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Puan  Aidah Awang, serta Setiausaha Tetap Kementerian-Kementerian. 

Tamat