Hajiji: Kepentingan rakyat jadi keutamaan

KOTA KINABALU: Kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri  hari ini, tegas Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Beliau berkata, pelbagai kemudahan infrastruktur disediakan bertujuan meningkatkan  tahap pembangunan dan kemajuan negeri, termasuklah di kawasan luar bandar dan  pedalaman 

Katanya, kemudahan bekalan air, elektrik dan jalan raya, yang menjadi asas keperluan  rakyat dan negeri, akan tetap diberikan keutamaan khusus untuk diperbaiki, dinaiktaraf  dan pertingkatkan dari semasa ke semasa 

“Justeru, menjadi tugas dan tanggungjawab setiap pegawai kerajaan untuk memainkan  peranan masing-masing bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan adalah  cekap dan telus serta menggalakkan budaya kerja berprestasi tinggi selaras dengan  prinsip rakyat sebagai pelanggan utama dalam sektor awam. 

“Dalam zaman yang serba moden dan canggih ini, penyampaian perkhidmatan bukan  sahaja perlu pantas tetapi juga harus bersifat responsif, tepat dan inklusif. Perkhidmatan  awam yang cekap, itulah yang diinginkan rakyat, dan pada masa sama, menjadi asas  kepada kejayaan pembangunan negeri,” katanya sempena Majlis Jamuan Negeri  Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Tuan Yang Terutama  Yang di-Pertua Negeri Sabah di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini pada Sabtu. 

Yang turut hadir Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah  Tussin dan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag.Turut  hadir Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M.Yahya, jemaah kabinet  negeri dan kenamaan lain. 

Sehubungan itu Ketua Menteri mahu semua pihak daripada barisan kepimpinan negeri  sehinggalah kepada anggota perkhidmatan awam agar sentiasa menjalankan tugas  dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh ikhlas dan jujur, taat dan setia,  berdedikasi dan berintegriti.  

Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada Kerajaan Negeri  hendaklah digalas dengan sepenuh hati dan dilaksanakan dengan penuh  kesempurnaan.  

“Matlamat utama kita ialah memastikan negeri ditadbir-urus dengan cekap demi  menjayakan proses pembangunan yang lancar sebagaimana yang dikehendaki dan  diharapkan oleh kita semua.  

“Sesungguhnya, Kerajaan Negeri tetap bertekad cemerlang dalam membawa kemajuan  negeri dan kesejahteraan rakyat, lebih-lebih lagi di bawah naungan dan kebijaksanaan  Tuan Yang Terutama Tun, yang menjadi payung kedaulatan, perpaduan dan  keharmonian negeri ini,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Menteri menegaskan bahawa kerajaan negeri komited dalam  memastikan pengukuhan dan pemerkasaan budaya integriti, tadbir urus baik dan  pencegahan rasuah melalui kerjasama strategik dengan mana-mana badan agensi  penguatkuasa. 

“Ini termasuklah kerjasama dengan polis, Jabatan Audit Negara serta Suruhanjaya  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).  

“Saya percaya nilai integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik, bukan sekadar  prinsip asas yang kukuh untuk pembangunan negeri secara holistik, tetapi juga adalah  tunggak utama dalam menjamin kedaulatan, kemakmuran dan kestabilan negeri,”  katanya. 

Tamat