KM serah sumbangan 200 ekor lembu korban

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyempurnakan  penyerahan sumbangan sebanyak 200 ekor lembu korban sempena sambutan Hari  Raya Aidiladha, di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah Sabah, Kampung Lok  Batik pada Khamis. 

Para penerima agihan sumbangan lembu korban terdiri daripada wakil masjid dan surau  kawasan parlimen Tuaran, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi negeri dan  daerah. 

Ketika ditemui selepas majlis penyerahan, Hajiji berkata ibadah korban bukan sahaja  melambangkan ketaatan kepada Allah SWT, juga menjadi medium pengukuhan  perpaduan dan semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat. 

"Ibadah korban membawa mesej besar dalam memperkukuh semangat kesatuan dan  saling membantu dalam kalangan masyarakat Islam. Hari Raya Aidiladha bukan  sekadar perayaan, tetapi satu penghayatan terhadap nilai pengorbanan, keikhlasan dan  kepedulian", katanya. 

Mengulas mengenai kenyataan Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa UMNO Sabah  hanya akan menimbangkan kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)  selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN 17), Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata,  perkara itu adalah pandangan Bung. 

"GRS belum lagi buat sebarang keputusan. Ahli Majlis Tertinggi GRS akan  bermesyuarat dalam tempoh terdekat ini untuk menentukan hala tuju kita dalam PRN  17, termasuk siapa dan parti yang akan menjadi rakan kerjasama, menentukan agihan  kerusi dan lain-lain", katanya. 

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid  Jahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya dan  ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan. 

Tamat