Keselamatan di pantai timur Sabah berada pada tahap tertinggi

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor memberi  jaminan bahawa tahap keselamatan di pantai timur Sabah berada pada tahap tertinggi  tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku selama beberapa tahun ini. 

Beliau menyatakan perkara itu ketika menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar  Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim di pejabatnya di Menara  Kinabalu pada Selasa. 

Dalam pertemuan itu, Ketua Menteri juga berasa gembira mendengar bahawa negeri  Sabah terus menjadi destinasi penting bagi pelawat Perancis, menjadikannya yang  ketiga bagi ketibaan pelawat Eropah ke Sabah, selepas United Kingdom dan Jerman. 

Ketibaan pelawat Perancis pada suku pertama tahun ini mencatatkan peningkatan  sebanyak 26.8 peratus kepada 2,116 orang berbanding 1,669 untuk tempoh yang sama  pada tahun lalu, dan jumlah ini terus meningkat. 

Hajiji yakin promosi yang berterusan dengan lebih proaktif dan agresif sudah pasti akan  membantu dalam peningkatan kehadiran pelawat Perancis ke Sabah 

Eldeen Husaini yang berasal dari Kuala Lumpur dilantik sebagai Duta Besar Malaysia  ke Perancis pada April 2024. Beliau pernah menyandang pelbagai jawatan penting  termasuk sebagai Duta Besar Malaysia ke Kemboja 

Hajiji dan Eldeen mengadakan perbincangan mengenai pelbagai peluang kerjasama  strategik antara Sabah dan Perancis, termasuk dalam bidang pelancongan yang akan  membawa manfaat bersama kepada rakyat negeri ini. 

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar  Negeri, Datuk Joniston Bangkuai yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah  (STB), Ketua Pegawai Eksekutif STB, Encik Julinus Jeffery Jimit, Pengarah Promosi  Antarabangsa (Amerika, Eropah, Oceania), Tourism Malaysia, Encik Akbal Setia dan  Pengarah Tourism Malaysia Paris, Puan Zalina Ahmad. 

Tamat