Ketua Menteri santuni jemaah haji Tuaran

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan isteri, Datin Seri  Panglima Hajah Juliah Salag meluangkan masa menyantuni para jemaah haji dari  kawasan Tuaran dalam satu majlis ringkas tetapi penuh bermakna di kediamannya di  Kampung Serusup pada Rabu. 

Majlis perjumpaan itu diadakan bagi meraikan dan memberi kata-kata semangat kepada  seramai 31 bakal tetamu Allah sebelum mereka berangkat menunaikan ibadah haji ke  Tanah Suci. 

Hajiji menzahirkan doa dan harapan agar semua jemaah diberikan kelancaran  perjalanan, kesihatan yang baik dan mendapat haji yang mabrur. 

“Saya doakan agar semuanya dipermudahkan dan selamat pergi serta selamat pulang,”  katanya. 

Beliau dan isteri turut menyampaikan sumbangan kepada para jemaah haji dan petugas  Tabung Haji serta meluangkan masa beramah mesra bersama mereka.  

Suasana majlis turut diserikan dengan bacaan doa selamat serta jamuan santai. 

Turut hadir Pengarah Eksekutif Operasi, Lembaga Tabung Haji, Haji Mohamed Ameen  Abdul Wahab, Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak Lembaga Tabung Haji, Datuk  Hajah Nurlaila Haji Said, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Cawangan  Sabah, Datuk Haji Norjeli Haji Dais dan Pengarah Negeri Sabah, Lembaga Tabung Haji,  Haji Yusdi Haji Nasip. 

Tamat