PMR 2025 ke peringkat daerah bantu golongan usahawan

TAWAU: Usaha membawa program pembangunan kerajaan Madani seperti Program  Madani Rakyat (PMR) ke peringkat daerah, memberi peluang kepada golongan  usahawan tempatan mendapat maklumat berkaitan program keusahawanan yang  dibawa oleh kerajaan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Penglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Ini secara tidak langsung katanya, dapat mempromosi produk tempatan kepada  masyarakat luar sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan  sektor pelancongan domestik. 

“Usaha ini juga sebagai langkah mendekati dan mendampingi rakyat, dimana aktiviti  mempromosi program-program pembangunan Kerajaan Madani tidak hanya tertumpu  di kawasan-kawasan tertentu sahaja.  

“Inilah bukti bahawa Kerajaan Madani tidak pernah mengabaikan tanggungjawab  terhadap rakyat walau di mana pun mereka berada,” katanya sempena Majlis Program  Madani Rakyat (PMR) 2025; Sabah, di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini pada  Ahad. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim telah menyempurnakan  penutupan majlis berkenaan. 

Sehubungan itu beliau berharap Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi  Malaysia (KUSKOP) akan terus membawa sekali gus membantu dalam memperkasa  pembangunan keusahawanan, khususnya di negeri ini. 

“Inisiatif keusahawanan yang direncana khusus di Sabah seperti Projek Premis Tamu  Desa, usaha pendigitalan melalui TEKUN TikTok Shop, pembiayaan sehingga RM800  juta, serta pembukaan Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) oleh SME  Corporation Malaysia, telah memberi impak positif kepada lebih 50 ribu usahawan  mikro, kecil dan sederhana di Sabah. 

“Inisiatif ehsan@KUSKOP juga dilihat mampu membantu menoktahkan kemiskinan  tegar melalui pendekatan intervensi bersasar yang melibatkan bimbingan, latihan,  modal dan pemantauan menyeluruh.

“Pendekatan yang dibawa oleh KUSKOP ini telah memberi nilai tambah yang strategik  kepada landskap keusahawanan tempatan. Justeru, saya berharap program  ehsan@KUSKOP ini dapat diperluaskan lagi ke lain-lain daerah dan kawasan luar  bandar di Sabah,” katanya. 

Beliau juga mahu capaian perkhidmatan perbankan terutamanya bagi agensi-agensi di  bawah KUSKOP, diperluaskan. 

“Justeru, saya berharap institusi seperti Bank Rakyat akan mempertimbangkan untuk  membuka lebih banyak cawangan, atau sekurang-kurangnya meletakkan mesin ATM  atau Automatic Teller Machine di kawasan luar bandar, sebagai kemudahan untuk  rakyat, terutama golongan usahawan tempatan,” katanya. 

Hajiji berkata, di peringkat negeri beberapa program yang berkaitan dengan  pembangunan keusahawanan turut disediakan kepada belia antaranya Skim Jaya  Usahawan Belia (Syabas) di bawah Kementerian Belia dan Sukan Sabah. 

“Di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, terdapat juga  beberapa program yang menjurus kepada pembangunan keusahawanan dalam  kalangan belia, seperti Bengkel Skim Usahawan Siswazah (BUSS) dan Bengkel Skim  Usahawan Teknikal (BEST) yang masing-masing menyasarkan belia lepasan universiti  dan lepasan institusi vokasional atau kemahiran. 

“Kerajaan negeri melalui Yayasan Usaha Maju (YUM), sebuah agensi yang diwujudkan  sejak 1995, terus membantu golongan peniaga dengan menawarkan pinjaman mikro  kepada kumpulan sasar, termasuklah usahawan wanita, yang memerlukan modal untuk  memajukan perniagaan mereka,” katanya. 

Beliau berkata, kemajuan sektor keusahawanan bergantung rapat dengan prestasi  ekonomi negeri dan negara.  

“Sejak berakhirnya Pandemik Covid-19 pada 2021, ekonomi Sabah yang sebelum itu  jatuh merudum, telah menunjukkan perkembangan yang positif dengan prestasi  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mula meningkat daripada RM 82.1 bilion pada  tahun 2022, kepada RM 83.2 bilion pada tahun 2023.  

“Dan diunjurkan KDNK Sabah untuk tahun 2024 ialah sebanyak RM 84.9 bilion. Ini  jelas memperlihatkan keupayaan dan kesungguhan Kerajaan Negeri bukan sahaja  dalam memulihkan semula ekonomi tetapi juga meletakkan prestasi ekonomi Sabah  ditahap yang terbaik,” katanya. 

Katanya, kerajaan juga komited untuk merancakkan lagi program membasmi miskin  tegar di Sabah, dimana kita telah berjaya mengurangkan kadar miskin dan miskin tegar  secara signifikan. 

“Kejayaan ini hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,  dengan pelaksanaan beberapa inisiatif seperti Rumah Mesra SMJ, Sentuhan Kasih  Rakyat Sabah, dan dasar Kerajaan Negeri yang memberi keutamaan pengambilan  pekerja dalam kalangan Ketua Isi Rumah yang tergolong dalam miskin dan miskin tegar  oleh agensi kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan terpilih,” katanya. 

Sehubungan itu Ketua Menteri berkata hubungan erat yang sedia terjalin antara  Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat akan terus diperkukuhkan.  

“Kita optimis, kerjasama dan hubungan akrab antara kedua-dua kerajaan, negeri dan  persekutuan, adalah kunci kepada kejayaan kita bersama dalam mencapai matlamat  masyarakat madani, iaitu masyarakat yang progresif, berilmu, berintegriti dan hidup  dalam suasana makmur dan harmoni,” katanya. 

Tamat