Kenyataan Media - Parti-parti tempatan harus menjadi tonggak kepada kerajaan negeri

 

KENYATAAN MEDIA

 

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa parti-parti tempatan harus  menjadi tonggak kepada kerajaan negeri. Kita berpegang kepada prinsip bahawa  kerajaan negeri Sabah seharusnya dipimpin oleh parti tempatan yang memahami  realiti, budaya dan keperluan rakyat — tanpa mengetepikan peranan dan kepentingan  parti-parti nasional dalam kerangka kerjasama yang lebih luas. 

Sekiranya keputusan muktamad Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN)  adalah untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri akan datang, maka GRS  bersedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan parti parti tempatan lain yang sehaluan. Menyimpang daripada prinsip ini bermakna kita  mengabaikan aspirasi sebahagian besar rakyat Sabah. 

Apa yang GRS perjuangkan ialah kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat demi  masa depan Sabah. Seperti yang sering saya tekankan, Kerajaan Negeri hari ini perlu  terus diperkukuhkan kerana ia membawa kestabilan dan mewakili satu bentuk  kerjasama yang menyumbang kepada kekuatan Kerajaan Perpaduan di peringkat  persekutuan. Mengenepikan aspirasi tempatan dalam konteks politik Sabah adalah  tidak selari dengan sentimen rakyat di peringkat akar umbi. 

Sehubungan itu, GRS akan mengadakan mesyuarat kepimpinan dalam masa terdekat  untuk menetapkan hala tuju gabungan ini dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri  yang akan datang. GRS juga akan mengadakan perbincangan rasmi dengan parti parti yang membentuk kerajaan negeri semasa untuk mendapatkan pandangan dan  pendirian mereka. 

 

DATUK SERI PANGLIMA HAJI HAJIJI HAJI NOOR 

Ketua Menteri Sabah 

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS)