MoU antara DBKK dan MCMC memacu Kota Kinabalu menjadi bandar raya pintar

KOTA KINABALU: Kerjasama antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC akan memacu Kota  Kinabalu ke arah menjadi sebuah bandar raya pintar, lestari, dan maju sekali gus yang  dapat bersaing di peringkat global. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata sebagai ibu negeri  Sabah, Kota Kinabalu bukan sekadar pusat pentadbiran tetapi juga pusat ekonomi,  pelancongan, dan inovasi teknologi yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Sabah. 

Beliau berkata, kerjasama antara DBKK dan MCMC menerusi memorandum  persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini adalah langkah besar ke arah  merealisasikan visi Sabah sebagai negeri yang memacu pembangunan mampan  melalui digitalisasi.  

“Kota Kinabalu akan menjadi model bandar raya pintar yang memperlihatkan  bagaimana teknologi dapat memperkasa kehidupan rakyat dan menyokong  pertumbuhan ekonomi negeri.  

“Melalui MoU ini, pelaksanaan beberapa projek berskala besar akan dilakukan  antaranya kesalinghubungan digital yang menyeluruh, aspek keselamatan awam dan  infrastruktur pintar seperti pemasangan kamera litar tertutup atau CCTV, digitalisasi  pentadbiran dan perkhidmatan bagi menjadikan pentadbiran lebih cekap,  mengurangkan birokrasi serta budaya digital dan ekonomi tanpa tunai,” katanya. 

Beliau berkata demikian sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman  antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan  Multimedia Malaysia (SKMM) di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini  pada Selasa. 

Sementara itu, beliau percaya MoU ini adalah permulaan kepada era baharu  pembangunan Sabah, dengan Kota Kinabalu akan menjadi contoh kepada bandar bandar lain di negeri ini. 

“Usaha ini bukan sahaja memberi impak kepada bandar raya, tetapi juga kepada seluruh  Sabah. Dengan menjadikan Kota Kinabalu sebagai hab digital dan inovasi, kita  membuka peluang untuk kolaborasi pelbagai sektor termasuk pelancongan, pendidikan,  dan perniagaan.

“Ini akan menarik lebih banyak pelaburan asing, mencipta peluang pekerjaan, dan  meningkatkan taraf hidup rakyat kita,” katanya. 

Dalam konteks kerajaan negeri katanya, sebanyak RM41.75 juta diperuntukkan kepada  Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Sabah Skills and Training Centre (SSTC) dan  Sabah Creative Economy and Innovation Center bagi melaksanakan kursus  penguasaan bahasa, latihan kemahiran sains, teknologi dan inovasi, pada tahun depan.  

“Ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri untuk memberi penekanan kepada  agenda pendigitalan termasuk kemahiran sains, teknologi dan inovasi. Kerajaan negeri  juga menyediakan sebanyak RM10.5 juta juga sebagai usaha pendigitalan  Perkhidmatan Awam Negeri, pada tahun depan. 

“Ini termasuklah sistem pengurusan sumber manusia (SM2), peningkatan Portal dan  Perkhidmatan Digital Sabah serta inisiatif tambahan lain yang akan menyokong  transformasi pendigitalan sektor awam 

“Dalam usaha meningkatkan capaian liputan internet di seluruh negeri, kerajaan negeri  merancang untuk memasang kemudahan internet teknologi Starlink di 300 lokasi di  seluruh Sabah yang masih belum mendapat liputan internet, pada tahun depan,”  katanya. 

Tamat