Sesi Libat Urus Pemurnian Data Miskin Tegar Negeri Sabah

Sekretariat Sabah Maju Jaya, Jabatan Ketua Menteri, hari ini (Khamis) telah mengadakan Sesi  Libat Urus Pemurnian Data Miskin Tegar Negeri Sabah Fasa 2.0 Bersama Ahli Dewan  Undangan Negeri (ADUN) Siri 01, di Hyatt Centric, Kota Kinabalu. 

Sesi libat urus itu khusus untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti bukan  Kerajaan. Seramai 2 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti bukan  Kerajaan dan 3 lagi wakil ADUN lain menyertai sesi libat urus itu. Mereka ialah ADUN Tungku,  YB Tuan Assaffal @ Samsul Kamal P. Alian (Tungku) dan ADUN Bongawan, YB Tuan Dr.Daud  Yusof. 3 orang wakil ADUN daripada kawasan DUN Sungai Manila, Sukau dan Darau. 

Sesi libat urus itu diadakan susulan arahan Ketua Menteri, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji  Bin Haji Noor semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Yang  Keenam Belas, baru-baru ini. 

Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Datuk Haji (Datu) Rosmadi  Sulai telah menyampaikan perutusan dan pembentangan pengenalan Program Menoktahkan  Miskin Tegar Negeri Sabah. 

Rosmadi berkata, kerajaan negeri komited merealisasikan agenda untuk menoktahkan  kemiskinan di Sabah. Beliau memohon bantuan dan kerjasama daripada ADUN-ADUN untuk  mengenalpasti senarai rakyat termiskin dan miskin tegar di kawasan masing-masing. 

Katanya, sesi libat urus itu penting bagi mendapatkan input dan cadangan daripada semua,  terutama sekali ADUN bukan parti kerajaan dari segi menambah senarai nama Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) yang tercicir dari Sistem e-Kasih di kawasan  DUN masing-masing ke dalam Sistem Pangkalan Data Kemiskinan Negeri Sabah (PADANS) 

Rosmadi berkata, sesi libat urus ini mencerminkan keterbukaan dan komitmen pimpinan  kerajaan pada waktu ini untuk membasmi kemiskinan tegar di Sabah. Ketua Menteri, Datuk Seri  Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor telah menegaskan bahawa usaha-usaha dalam menoktahkan  kemiskinan tegar tidak seharusnya dibatasi oleh agama, bangsa atau fahaman politik. 

Sempena Sesi Libat Urus Pemurnian Data Miskin Tegar Negeri Sabah itu, ADUN-ADUN dan  wakil mereka turut didedahkan dengan Sistem PADAS dan tatacara permohonan pendaftaran  sistem itu bagi tujuan intervensi bantuan kelak. 

Turut hadir pada sesi libat urus itu ialah Pengarah Sekretariat SMJ, Puan Rosnih Othman dan  pegawai-pegawai lain.

Tamat