Bidang pendidikan & modal insan keutamaan kerajaan

TUARAN: Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada bidang pendidikan dan  pembangunan modal insan negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji  Hajiji Haji Noor. 

Katanya, antara fokus utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) ialah aspek pendidikan  dan modal insan yang berkualiti. 

Untuk tujuan itu katanya, Kerajaan Negeri telah menambah berlipat kali ganda  peruntukan untuk pendidikan, termasuklah Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS)  pada tahun hadapan berjumlah RM127 juta.  

Beliau berkata, penambahan ini berupaya membantu lebih ramai lagi anak-anak Sabah  yang berkelayakan, tetapi memerlukan bantuan dari segi pembiayaan kos pengajian  mereka di institusi pengajian tinggi.  

“Selain itu bantuan lain yang turut diberikan seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT  (BUDI) “one off”, Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI),  Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Anugerah Kecemerlangan  Pendidikan Sabah (AKSA), Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah  Sabah (BISBAH) dan Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU)”, katanya pada  Majlis Perasmian Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Rugading, Tuaran pada  Sabtu. 

Hajiji berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan negeri sentiasa  berusaha memastikan generasi muda memiliki asas pendidikan yang kukuh, lengkap  dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan agar mereka dapat menghadapi  masa depan dengan penuh keyakinan.  

Katanya, Kerajaan Negeri akan menimbang untuk memberikan bantuan kepada pelajar  Tingkatan 6 negeri ini. 

Hajiji juga menyokong cadangan agar sebuah sekolah baharu dapat dibina di kawasan  Rugading bagi menampung jumlah murid yang terus meningkat setiap tahun. 

Menyentuh bangunan baharu SK Rugading, beliau berkata, suasana pembelajaran  yang kondusif dan dilengkapi dengan kemudahan terkini dapat mendorong pelajar untuk  

belajar dengan lebih berkesan dan memudahkan mereka mencapai potensi diri yang  sebenar.  

“Saya yakin, dengan adanya kemudahan ini, SK Rugading akan terus mencipta sejarah  dalam melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang bukan sahaja di peringkat akademik,  tetapi juga dalam kehidupan secara keseluruhan. 

“Semoga bangunan baharu SK Rugading ini dapat memberi manfaat kepada rakyat  terutama anak-anak di daerah Tuaran dan sekitarnya. Saya yakin pelajar sekolah akan  dapat menimba ilmu pengetahuan dengan lebih berkesan dalam suasana yang lebih  selesa berbanding dengan bangunan sebelum ini”, katanya. 

Tamat.