Bekalan tenaga mampan perkukuh pembangunan sosio-ekonomi Sabah

KIMANIS: Bekalan tenaga yang mencukupi dan mampan akan meningkatkan kualiti hidup  rakyat Sabah serta memperkukuh pembangunan sosio-ekonomi negeri, kata Ketua Menteri,  Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, kerajaan negeri sentiasa komited untuk terus memperkasakan pengurusan sumber  dan pembangunan sektor tenaga di negeri ini menerusi Pelan Induk Hala Tuju Tenaga Sabah  2040 (SE-RAMP 2040). 

Menurutnya, SE-RAMP 2040 adalah satu langkah penting bagi Kerajaan Negeri untuk  memastikan bekalan tenaga yang mampan, akses yang adil dan menyeluruh, serta kos yang  mampu milik, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memberikan bekalan elektrik kepada  seluruh rakyat Sabah.  

“Di bawah pelan itu, Majlis Tenaga Sabah (MTS) telah ditubuhkan bagi memantau, menyokong,  dan memberikan panduan terhadap pelaksanaan inisiatif-inisiatif jangka pendek, sederhana,  dan panjang yang dirancang. MTS dalam mesyuarat keduanya bulan Ogos lalu telah  meluluskan beberapa projek kritikal bagi pembangunan penjanaan berkapasiti 700 Megawatt  (MW) untuk mengukuhkan Sistem Grid di Sabah. 

“Projek Loji Janakuasa 100MW oleh Kimanis Power (Dua) Sdn.Bhd ini adalah antara projek  yang diluluskan untuk memastikan bekalan elektrik yang mencukupi bagi memenuhi keperluan  industri dan masyarakat kita. Projek ini sudah pasti mampu mengukuhkan lagi sumber dan  bekalan elektrik negeri Sabah sekali gus dapat memastikan kesejahteraan rakyat negeri ini”,  katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Projek Loji Janakuasa 100MW Kimanis  Power (Dua) Sdn Bhd dan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Kimanis Power Sdn.Bhd di  Stesen Janakuasa Kimanis, Papar pada selasa. 

Hajiji berkata, menerusi kerjasama erat diantara Kumpulan Yayasan Sabah dan PETRONAS  Gas Berhad, Kimanis Power telah berkembang sebagai Penjana Tenaga Bebas yang  memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan bekalan elektrik di Sabah, tunjang  kepada pembangunan negeri ini. 

Katanya, sektor tenaga merupakan pemacu penting dan antara penyumbang terbesar kepada  ekonomi Sabah sejak beberapa dekad yang lalu. Justeru, projek itu akan dapat memenuhi  peningkatan permintaan tenaga di negeri ini.

Menurutnya, PETRONAS sebagai rakan utama Sabah, terus memainkan peranan penting  dalam memperkukuh sosio-ekonomi negeri melalui pembangunan modal insan dan kerjasama  strategik dengan Kerajaan Negeri.  

Beliau berkata, komitmen itu terserlah dalam usaha PETRONAS memajukan bakat tempatan  dengan menyediakan peluang latihan, program peningkatan kemahiran dan pendidikan  berterusan untuk anak-anak Sabah. 

“PETRONAS juga menyokong ekonomi tempatan melalui pemindahan teknologi dan  pemerkasaan vendor tempatan. Usaha bersepadu ini bukan sahaja memajukan industri minyak  dan gas di Sabah, juga meningkatkan taraf hidup rakyat serta merangsang ekonomi negeri  secara keseluruhan”, tegasnya. 

Hajiji mengucapkan tahniah kepada Kimanis Power atas 15 tahun pencapaian cemerlang dalam  industri tenaga di Sabah dan sumbangannya kepada pembangunan negeri ini, berharap lebih  banyak inovasi serta kolaborasi antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri di masa akan datang. 

Tamat.