Penglibatan belia di peringkat akar umbi terus diperhebatkan

TAWAU: Karnival Anak Muda SMJ Kalabakan adalah antara usaha dan langkah  kerajaan dalam memperbanyakkan program yang melibatkan belia di peringkat akar  umbi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, usaha ini juga adalah manifestasi kerajaan untuk memartabatkan golongan  belia di seluruh negeri, selaras dengan aspirasi teras kedua pelan pembangunan Hala  Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), iaitu Pembangunan Modal Insan. 

“Belia adalah aset yang amat penting untuk negara malah golongan ini adalah generasi  pewaris masa depan. Atas sebab itu, saya amat mengalu-alukan program Karnival Anak  Muda seperti ini yang sudah pasti memberi manfaat kepada golongan belia khususnya  di daerah ini.  

“Masa depan negara dan rakyat kita adalah di tangan generasi muda masa kini, iaitu  belia. Oleh itu, penglibatan belia di peringkat akar umbi akan terus diperhebatkan.  Kerajaan juga sentiasa terbuka untuk mendengar aspirasi anak-anak muda di negeri  ini,” katanya sempena perasmian Karnival Anak Muda SMJ Kalabakan di Kompleks  Sukan Tawau, di sini, pada Ahad malam. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan  Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy. 

Dalam pada itu beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM16.42 juta  untuk melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia yang meliputi aktiviti  kesukarelawanan dan perpaduan sosial, pada tahun ini.  

“Program ini juga antara lain untuk melahirkan pemimpin belia yang berkualiti tinggi,  Selain itu, kerajaan turut membelanjakan jumlah yang besar untuk menyediakan  pelbagai inisiatif dalam aspek pendidikan seperti .menyediakan biasiswa, dermasiswa  dan pinjaman. pendidikan. Ini bagi memastikan anak-anak kita dapat meneruskan  pengajian mereka hingga ke tahap lebih tinggi. 

“Di samping itu, kerajaan turut menyediakan Tabung Pendidikan Negeri Sabah dan  Yayasan Kebajikan Sabah, termasuk beberapa insentif lain dengan objektif untuk  membantu rakyat yang amat memerlukan bantuan segera, terutama mereka yang  berada dalam kategori B40 dan M40,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar golongan belia sentiasa bersama dan menyokong kerajaan untuk menjayakan agenda besar pembangunan negeri ini iaitu Hala Tuju  Sabah Maju Jaya.  

“Banyak yang telah, sedang dan akan kita laksanakan menerusi agenda Hal Tuju SMJ.  Oleh itu, golongan belia kita perlu membantu untuk menguar-uarkan segala inisiatif dan  program yang dilaksanakan kerajaan hingga ke peringkat akar umbi,” katanya. 

Tamat