Kerjasama NGO dan swasta bantu rakyat kurang bernasib baik

KOTA KINABALU: Usaha kerajaan untuk terus memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada  rakyat khususnya golongan yang kurang bernasib baik, memerlukan kerjasama serta sokongan  daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), korporat dan sektor swasta. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata justeru usaha Yayasan Kasih  Suria yang telah melaksanakan pelbagai program dan kerja amal sejak lebih 30 tahun lalu  termasuk melalui pendidikan, kebajikan dan sosioeknomi, telah memberi manfaat besar kepada  masyarakat yang memerlukannya di negeri ini. 

“Konsert amal yang dilaksanakan yayasan pada hari ini sangat bertepatan dengan keperluan  kita menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat prihatin dan berbudi pekerti tinggi. 

“Inisiatif orang persendirian, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan syarikat korporat  membantu mengadakan program kebajikan dan amal begini perlu dicontohi dan disokong  sepenuhnya. 

“Sehubungan itu saya menyeru agar lebih banyak lagi syarikat swasta dan badan korporat untuk  tampil memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan di negeri ini,” katanya sempena  Konsert Amal Yayasan Kasih Suria di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada  Sabtu. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin  Arif. 

Sehubungan itu beliau merakamkan tahniah atas usaha Yayasan Kasih Suria yang diketuai oleh  Datuk Raya Erom, dalam membantu masyarakat yang memerlukan bantuan di negeri ini,  menerusi pelbagai program yang diadakan. 

Katanya, ini termasuklah melalui pelbagai usaha-usaha yang telah dilakukan seperti  mewujudkan Rumah Kebajikan Suria yang memberi tempat perlindungan kepada anak-anak  yatim, hingga kepada Pusat Seni Suria yang memberikan platform kepada  belia mengembangkan bakat seni mereka. 

“Yayasan ini juga telah mewujudkan Sekolah Agama Suria di Tuaran yang menjadi pusat  bimbingan ilmu agama, memberi manfaat besar kepada komuniti tempatan,” katanya. 

Ketua Menteri berkata kerajaan memang telah dan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk  membantu dan memberi keselesaan bagi mengurangkan beban golongan yang tidak bernasib  baik dari semasa ke semasa.

“Penganjuran majlis ini sangat bertepatan dengan usaha kerajaan khususnya salah satu teras  dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat. Kita maklum,  tidak semua dalam kalangan ahli masyarakat kita yang bernasib baik dan hidup dalam keadaan  yang selesa. 

“Bagaimanapun, usaha kerajaan tidak memadai dan ia perlu disokong oleh masyarakat secara  keseluruhan. Dalam hal ini, semua pihak perlu terlibat dalam program kebajikan dan  kemasyarakatan,” katanya. 

Beliau berharap sumbangan menerusi konsert amal ini dapat digunakan dengan sebaik-baiknya  untuk memperkasakan lagi program-program yang dijalankan, terutamanya bagi menaik taraf  fasiliti Sekolah Agama Suria dan untuk memastikan lebih banyak lagi komuniti menerima  manfaat. 

Tamat