Tamu besar tarikan pelancong, eratkan perpaduan rakyat

KOTA BELUD: Tamu Besar Kota Belud bukan saja mampu menarik kehadiran  pelancong malah turut mengangkat keindahan dan keunikan keelbagaian budaya  tempatan yang ada di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji  Noor. 

Justeru katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong dan membangunkan potensi  setiap daerah di Sabah termasuk memajukan sosioekonomi, pelancongan dan  kebudayaan masyarakatnya yang unik. 

“Sudah pasti penganjuran tamu besar secara tahunan ini berperanan besar dalam  menarik pelancong selain mempromosikan keindahan budaya tempatan.  

“Tamu besar ini juga menjadi lambang perpaduan kerana tamu adalah medan  pertemuan sosial rakyat berbilang kaum dan agama seperti masyarakat Bajau,  Kadazandusun, Iranun dan Cina, yang terus kekal sehingga kini. 

“Saya berharap rakyat akan terus memberi sokongan kepada setiap agenda  pembangunan yang dilaksanakan kerajaan,” katanya sempena Tamu Besar Kota Belud  2024 di Padang Pekan Kota Belud, di sini pada Sabtu. 

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menyempurnakan majlis  perasmian Tamu Besar Kota Belud 2024. 

Pelbagai pengisian telah disusun sempen Tamu Besar Kota Belud tahun ini, antaranya  persembahan kebudayaan, sukan rakyat, pameran dan jualan produk kraf, komuniti,  serta tradisional. 

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri terus komited untuk memperhebat  pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program pelancongan yang inklusif, khususnya  dalam memperluas rangkaian promosi pelancongan dan mengembangkan jaringan  laluan udara ke negeri ini. 

Katanya, langkah ini bertujuan meningkatkan aksesibiliti Sabah sebagai destinasi yang  mampu menawarkan pengalaman pelancongan yang paling menarik bagi pelancong  domestik mahupun antarabangsa.

“Berdasarkan statistik Lembaga Pelancongan Sabah, jumlah kedatangan pelancong ke  negeri ini dari Januari hingga Ogos adalah kira-kira 2.1 juta orang dengan pelancong  antarabangsa seramai 867,231 manakala 1.2 juta adalah pelancong domestik.  

“Ini menunjukkan potensi besar Sabah sebagai destinasi pelancongan, dan saya yakin  dengan perancangan strategik yang telah diatur, jumlah kedatangan pelancong ke  Sabah akan terus mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan. 

“Kota Belud adalah antara destinasi yang menawarkan pelbagai pengalaman  pelancongan, termasuk pengembaraan, rekreasi, budaya, dan alam semula jadi dengan  lebih daripada 30 lokasi pelancongan yang menarik untuk diterokai termasuk di pulau  dan sungai,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata Tamu Kota Belud merupakan salah satu tamu tertua di  Sabah yang telah menjangkau lebih daripada 100 tahun usianya.  

“Tamu Kota Belud bukan sekadar pusat perdagangan, tetapi juga tempat pembuatan  dan penjualan pelbagai produk tempatan seperti hasil pertanian, makanan tradisi,  kraftangan, parang, peralatan muzik, serta busana tradisi. Di sini, para pengunjung  boleh mendapatkan barangan berkualiti pada harga yang berpatutan,” katanya. 

Tamat