Atlet Sabah terima RM2.19 juta insentif kemenangan dari kerajaan negeri

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri hari ini menyampaikan insentif berjumlah RM2.19  juta kepada atlet Sabah yang berjaya dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI  dan Para SUKMA XXI di Sarawak baru-baru ini. 

Turut mendapat ganjaran, pelari negara Eddy Bernard yang mendapat pingat gangsa  dalam acara 100m di sukan Paralimpik Paris 2024, sebanyak RM50,000. 

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin merakamkan tahniah dan syabas kepada atlet  yang telah mewakili negeri Sabah di kedua-dua temasya sukan berprestij ini,” kata  Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di majlis penyampaian insentif  kemenangan di sini, pada Selasa.  

Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Alfred Angin. 

Ketua Menteri berkata turut tidak dilupakan kesemua jurulatih dan pengurus-pengurus  pasukan yang telah mengorbankan masa dan tenaga demi menjaga kebajikan atlet  masing-masing selama hampir dua tahun sebelum menghadapi SUKMA dan Para  SUKMA lalu.  

“Atas keprihatinan ini, insentif sebanyak RM245,000 diberikan kepada jurulatih-jurulatih  dan pengurus-pengurus pasukan SUKMA dan sebanyak RM250,500 diberikan kepada  jurulatih-jurulatih dan pengurus-pengurus pasukan Para SUKMA. 

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada atlet renang yang berasal dari daerah  Sandakan iaitu Shahafiq Abdullah kerana telah dipilih sebagai pemenang anugerah  Atlet Lelaki Terbaik Para SUKMA Edisi Ke-21, 2024 selepas membawa pulang empat  pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa.  

“Lebih membanggakan lagi, keempat-empat pingat emas yang dimenangi beliau itu  merupakan catatan rekod baharu kebangssan. Dengan kejayaan itu, Shahafiq akan  menerima insentif tambahan untuk anugerah ini iaitu sebanyak RM10,000,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Menteri berharap semua perancangan yang telah, sedang dan  akan dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah akan berjalan dengan  lancar khususnya dalam pembangunan sukan dan belia di negeri ini.

“Pada bulan September lalu, saya telah mengadakan lawatan rasmi ke Pejabat  Kementerian Belia dan Sukan Sabah di Wisma MUIS. Saya telah menerima taklimat  berkaitan usaha kementerian ini untuk terus memajukan aspek sukan dan belia di negeri  ini,” katanya. 

Beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memperuntukkan perbelanjaan  besar dan konsisten bagi memastikan lebih banyak aktiviti sukan dan belia dapat  dijalankan. 

“Kita juga akan terus menyediakan prasarana dan teknologi yang moden dari semasa  ke semasa bagi memenuhi keperluan atlet dan belia untuk berlatih atau bekerja dengan  lebih efisien,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak berkaitan dalam pembangunan sukan  termasuk jurulatih, pengurus dan atlet agar sentiasa manfaatkan segala kemudahan  yang disediakan untuk meningkatkan pencapaian dalam bidang sukan masing-masing.  

“Ini termasuk untuk memastikan kejayaan lebih gemilang, bukan sahaja di peringkat  kebangsaan malah di arena antarabangsa. Setiap kejayaan yang diperoleh bukanlah  penamat perjuangan kita. Sebaliknya, ia adalah titik permulaan bagi kita mencapai lebih  banyak kejayaan di masa hadapan. 

“Ingin saya tegaskan juga, sukan bukan sekadar mengenai pingat dan kemenangan  semata-mata, sebaliknya ia melahirkan sifat ketekunan, kerjasama dan integriti.  

“Nilai inilah yang sepatutnya tersemat dalam diri atlet. Saya berharap semua pihak akan  terus memartabatkan sukan di negeri ini, sekali gus mengharumkan nama negeri dan  negara di persada antarabangsa,” katanya. 

Tamat