Kerajaan akan bina 3000 Rumah Mesra SMJ tahun hadapan

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan meneruskan Program Rumah Mesra Sabah  Maju Jaya (SMJ) tahun hadapan dengan membina sebanyak 3000 buah rumah dengan  kos sebanyak RM250 juta. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, program itu bagi  membantu rakyat dalam kesusahan dan memerlukan rumah kediaman. 

"Insya Allah, pada tahun hadapan, sebanyak 3000 buah rumah seumpamanya akan  dibina di kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri dengan kos sekitar RM250  juta", katanya pada Majlis Perasmian Program Madani Rakyat 2024: Sayangi Sabah di  Pekarangan Stadium Likas pada Sabtu. 

Program itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim. 

Beliau berkata, Ekonomi Biru (Blue Economy) merupakan sumber baharu dalam  pembangunan ekonomi negara sebagai tambahan kepada aktiviti ekonomi sedia ada,  menjurus kepada penerokaan khazanah laut yang sangat berpotensi untuk  menghasilkan tenaga boleh diperbaharui serta lain-lain produk yang berkaitan  dengannya.  

"Ekonomi Biru ini diyakini mampu melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri untuk  beberapa dekad mendatang. Sub-sektor ekonomi yang bakal kita terokai secara serius  ini adalah suatu pendekatan strategik yang mengutamakan penerokaan dan  pemanfaatan sumber laut secara lestari.  

"Negeri Sabah kaya dengan khazanah laut yang tidak ternilai, dan potensi ini perlu  diterokai dengan bijaksana agar sumber ekonomi negeri dapat terus berkembang sambil  kita menjaga dan memelihara eko-sistem laut negeri ini yang kaya dengan pelbagai  khazanahnya", katanya. 

Hajiji berkata, Program Madani Rakyat yang tercetus dari Gagasan Malaysia Madani  adalah usaha kerajaan untuk memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat,  meliputi beberapa inisiatif ke arah membantu mengurangkan beban hidup golongan  kurang bernasib baik, termasuk program menoktahkan miskin tegar di dalam negara.  

Katanya, Sabah dipilih sebagai lokasi penutup Program Madani Rakyat 2024 setelah  ianya dilaksanakan secara jelajah di 5 buah zon seluruh negara.

Menurutnya, program mega seperti ini bukan sahaja mampu menyatukan pemimpin  dengan rakyat, malah membuka ruang dan peluang untuk rakyat memahami dasar dasar Kerajaan dan segala program pembangunan, disamping memanfaatkan pelbagai  kemudahan yang disediakan untuk rakyat jelata dan golongan akar umbi. 

"Semua yang terdapat di dalam program ini adalah berasaskan kepada keperluan rakyat  yang meliputi pelbagai bidang dan sektor yang menjurus kepada pembangunan dan  kesejahteraan.  

"Program murni ini berpaksikan kepada keperluan dan kemudahan yang disediakan  oleh Kerajaan, selaras dengan objektifnya yang antara lain untuk menyebar luas dan  mempromosikan dasar-dasar dan inisiatif baharu yang disediakan untuk rakyat, serta  meningkatkan pemahaman dan kesedaran umum terhadap hala tuju dan dasar-dasar  pembangunan kerajaan", tegasnya. 

Tamat