Contohi perilaku Nabi Muhammad kekalkan keharmonian masyarakat

TUARAN: Rakyat negeri ini perlu sentiasa mencontohi perilaku Nabi Muhammad SAW  dalam mengekalkan keharmonian antara masyarakat, kata Ketua Menteri, Datuk Seri  Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, kita harus terus menjaga keharmonian pelbagai kaum dan agama di negara  ini dengan mencontohi Nabi Muhammad SAW dalam segala perilaku dan usahanya  menjaga hubungan antara umat Islam dan bukan Islam. 

"Budi pekerti Rasulullah ini juga memberi pengajaran bahawa umat Islam mestilah  mengikis sikap mudah selesa, mudah berpuas hati dengan pencapaian yang ada,  sebaliknya perlu sentiasa bekerja dan berusaha ke arah mencapai kejayaan yang lebih  cemerlang.  

"Justeru, saya mahu rakyat agar bersama-sama kerajaan dengan memainkan peranan  masing -masing terutama sekali dalam membantu menjayakan setiap agenda  pembangunan negeri ini", katanya pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah  Tuaran Tahun 1446 Hijriah/ 2024M di Dewan Seri Sulaman pada Khamis. 

Beliau berkata, sambutan Maulidur Rasul yang diadakan bukan sekadar untuk  memperingati dan meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW semata-mata,  sebaliknya merupakan wadah untuk mengikis mentaliti cepat puas hati dan  membebaskan diri daripada perangkap zon selesa (complacency) terutama sekali di  kalangan anak-anak muda dan belia. 

Hajiji berkata, semangat Maulidur Rasul perlu terus disemarakkan dan disemai dalam  jiwa setiap umat Islam sebagai bukti ketulusan cinta terhadap Rasululullah SAW.  

"Saya ingin mengajak kita semua untuk merenung kembali perjalanan hidup Rasulullah  SAW, yang penuh dengan pengajaran dan hikmah. Baginda bukan sahaja seorang  rasul, tetapi juga seorang pemimpin, pendidik dan contoh teladan yang agung", katanya. 

Menurutnya, kejayaan sesebuah negara tidak dicapai dalam sehari, tetapi melalui usaha  yang berterusan dan komitmen semua pihak dari kepimpinan yang berwawasan hingga  kepada penglibatan aktif rakyat.  

Katanya, setiap elemen memainkan peranan penting dalam memacu kejayaan negeri  dan negara. Dengan menggabungkan kekuatan pelbagai aspek, sesebuah negara boleh mencapai kejayaan yang mampan, menyeluruh bagi memastikan kesejahteraan  serta kemakmuran rakyat dapat dicapai. 

"Semoga sambutan Maulidul Rasul ini menjadi titik tolak bagi kita untuk terus  memperkukuhkan integriti, etika, dan kemajuan dalam membentuk masyarakat yang  harmoni dan sejahtera. Marilah kita bersama-sama mengambil iktibar daripada ajaran  dan kehidupan Rasulullah SAW untuk terus maju dan berdaya saing dalam mengangkat  martabat umat, negeri dan negara kita", katanya. 

Tamat