Pencapaian luar biasa Dr.Justin Sentian kebanggaan Malaysia

KOTA KINABALU: Pencapaian luar biasa dan cemerlang saintis Universiti Malaysia  Sabah (UMS), Profesor Dr. Justin Sentian berjaya merintis perjalanan ke benua  Antartika pada musim sejuk merupakan kebanggaan kepada rakyat Malaysia. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pencapaian Dr. Justin  bukan sahaja melampaui kejayaan peribadi beliau, tetapi juga satu tanda kejayaan dan  kebanggaan untuk negara kita Malaysia, negeri Sabah dan juga UMS. 

Katanya, pencapaian Dr. Justin membolehkannya diberi dua pengiktirafan serentak  dalam Malaysian Book of Records, sebagai rakyat Malaysia pertama yang menjalankan  penyelidikan pada musim sejuk dengan keadaan cuaca melampau dan juga rakyat  Malaysia pertama yang tinggal paling lama di benua Antartika iaitu selama 7 bulan.  

"Seiringan dengan pencapaian ini, pengiktirafan juga diberikan kepada Yayasan  Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) sebagai penganjur ekspedisi  penyelidikan musim sejuk pertama di benua Antartika", katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Penganugerahan The Malaysia Book of Record  Program Penyelidikan Musim Sejuk di Antartika kepada Dr. Justin Sentian dan Yayasan  Penyelidikan Antartika Sultan Mizan di Dewan Bankuasi UMS pada Isnin. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Alfred  Angin. 

Hajiji berkata, pengiktirafan berprestij yang diberikan ini membuktikan bahawa rakyat  Malaysia mampu melakukan sesuatu di luar daripada kebiasaan dan melambangkan  komitmen dan kejayaan negara kita terhadap kecemerlangan dalam inovasi dan  penyelidikan saintifik.  

"Kemampuan beliau untuk bertahan dan tinggal agak lama di benua Antartika dalam  keadaan cuaca melampau pada musim sejuk, menunjukkan ketabahan dan komitmen  yang sangat tinggi, bukan sahaja dalam penyelidikan beliau berkaitan dengan  perubahan iklim dan dinamik kimia atmosfera di Antartika, tetapi juga dari segi aspek  ketahanan fizikal dan mental yang sangat luar biasa.  

"Saya percaya, perjalanan beliau ke Antartika mencerminkan semangat, tekad dan rasa  ingin tahu yang sangat mendalam dan semangat ini mampu menjadi sumber inspirasi 

dan teladan, bukan sahaja kepada golongan penyelidik, tetapi kepada seluruh  masyarakat terutama generasi muda", katanya. 

Beliau berkata, geran penyelidikan yang dianugerahkan kepada Dr. Justin Sentian telah  menyumbang secara signifikan kepada kemajuan ilmu pengetahuan dan pemahaman  mengenai Antartika, terutama dalam bidang perubahan iklim, yang kini merupakan isu  global yang hangat dibincangkan.  

Katanya, kecemerlangan program akademik yang ditawarkan di UMS adalah bukti  bahawa dedikasi universiti itu dalam melahirkan penyelidik dan individu yang cemerlang  telah memberikan impak positif kepada negara dan seluruh rakyat. 

Tamat