Agenda pembangunan Hala Tuju SMJ nampak hasil positif

KOTA KINABALU: Agenda pembangunan negeri yang berpaksikan Hala Tuju Sabah  Maju Jaya (SMJ) kini berada di landasan yang betul dan sudah menampakkan hasil  positif, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, setelah genap 4 tahun menerajui negeri, kerajaan dengan penuh keyakinan  terus mara ke hadapan melaksanakan hala tuju negeri dengan penekanan kepada  beberapa sektor penting khususnya pertanian, perindustrian dan pelancongan. 

Beliau berkata, ketiga-tiga sektor ini telah melonjakkan ekonomi negeri sehingga  menarik pelabur ke Sabah, sekali gus membuka beribu-ribu peluang pekerjaan kepada  anak tempatan.  

Selain itu, katanya kerajaan turut memberi tumpuan untuk membangunan modal insan  dan memperkasa kesejahteraan rakyat.  

“Dengan sokongan jemaah kabinet negeri segala perancangan dan dasar-dasar dapat  dilaksana, sesuai dasar Hala Tuju SMJ yang menjadi asas kepada corak kemajuan dan  pembangunan negeri Sabah”, katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan menjunjung kasih sempena Majlis Istiadat  Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Negeri  Sabah sempena Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke 71 Tahun di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu pada Sabtu. 

Hajiji berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada bulan Julai lalu,  Sabah menyumbang 5.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada  tahun 2023.  

Menurutnya, Sabah menerima pelaburan sebanyak RM11.34 bilion, merupakan ketujuh  tertinggi di Malaysia, dengan 13.3 peratus diperolehi daripada sektor pembuatan pada  tahun lalu. 

Katanya, kehadiran pelancong ke Sabah juga semakin meningkat iaitu seramai 1.7 juta  pelancong setakat Januari hingga Julai 2024, dengan pelancong tempatan lebih 1.05  juta dan antarabangsa seramai 706,383 orang. 

“Perkembangan ini jelas bahawa sektor pelancongan di Sabah terus menunjukkan  pertumbuhan kukuh untuk tahun ini dan masa-masa akan datang serta dapat mencapai  sasaran seramai 3 juta pelancong ke Sabah pada tahun ini”, katanya. 

Beliau berkata, walaupun pencapaian dalam tempoh empat tahun pemerintahan  dengan pelaksanaan lebih 3 tahun Hala Tuju SMJ sejak dilancarkan pada Mac 2021,  namun banyak lagi yang perlu kerajaan lakukan.  

Katanya, Kerajaan negeri terus bertekad memperhebatkan lagi pembangunan negeri  dan kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan pelbagai program serta inisiatif yang  meliputi pelbagai sektor. 

Menurutnya, Kerajaan negeri sedang menerokai potensi Ekonomi Biru (Blue Economy)  iaitu penerokaan khazanah laut sebagai sumber ekonomi baharu dan lain-lain produk  industri yang boleh dihasilkan daripadanya.  

“Negeri Sabah yang dikelilingi oleh Laut Cina Selatan, Laut Sulu dan Laut Celebes,  berpotensi tinggi untuk penerokaan dan pembangunan Ekonomi Biru. Ke arah  merealisasikan usaha ini, kerajaan akan menganjurkan seminar bertaraf antarabangsa  berkaitan ‘The Blue Economy’, pada bulan ini”, tegasnya. 

Hajiji percaya rakyat bijak menilai fakta pencapaian kerajaan hari ini yang  bertanggungjawab bukan saja memikirkan, merancang malah melaksanakan banyak  agenda pembangunan untuk membantu rakyat. 

Tamat