Kerajaan negeri hargai sokongan berterusan persatuan & dewan perniagaan Tionghua

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri amat menghargai sokongan berterusan daripada  semua persatuan dan dewan perniagaan masyarakat Tionghua di negeri ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, dengan sokongan  padu yang berterusan daripada semua pihak termasuk dewan-dewan perniagaan,  kerajaan negeri kini berada di landasan yang betul dalam membawa pembangunan di  bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). 

“Kesediaan masyarakat Tionghua termasuk Gabungan Dewan Perniagaan Tionghua  Sabah (SUCCC) yang terus berdiri bersama-sama kerajaan bagi membantu dalam  setiap sektor pembangunan di negeri ini amat kita hargai”, katanya pada Majlis Angkat  Sumpah Jawatankuasa SUCCC bagi tempoh 2024-2027 di Dewan Hakka Sabah pada  Isnin. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan  Keusahawanan Negeri, Datuk Phoong Jin Zhe. 

Katanya, Sabah telah menjadi tumpuan sebilangan pelabur dengan membawa nilai  pelaburan mencecah RM12 bilion sejak dua tahun lalu, dan rekod pendapatan Sabah  sebanyak RM7 bilion pada tahun lalu menjadikan Sabah antara enam negeri  penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia Tahun  2023.  

Malah katanya, banyak peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada belia Sabah hasil  kemasukan pelabur domestik dan asing, sehingga Taman Perindustrian Kota Kinabalu  (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) penuh.  

Beliau berkata, kerajaan negeri kini sudah mengenalpasti taman perindustrian baharu  bagi memenuhi keperluan sektor perindustrian di negeri ini, iaitu di Kudat. 

“Pembukaan lebih banyak taman perindustrian sudah pasti nilai pelaburan dijangka  terus meningkat pada tahun mendatang kerana banyak lagi pelabur tempatan dan asing  menunjukkan minat untuk melabur di Sabah. 

“Justeru, saya mahu masyarakat Tionghua di negeri ini terus bersama-sama  kerajaan memajukan negeri ini, kerana ramai dikalangan mereka terbukti pandai dan  pintar dalam urusan perniagaan”, katanya. 

Hajiji berkata, kerajaan juga akan terus mempertingkatkan peluang pelaburan yang  boleh memanfaatkan pelbagai sektor pembangunan di Sabah. 

“Di sinilah peranan daripada masyarakat Tionghua untuk turut sama mengambil  peluang dalam sektor pembangunan di negeri ini”, tegasnya. 

Beliau berharap SUCCC terus menyokong dan bekerjasama sepenuhnya dengan  kerajaan untuk memastikan kejayaan pelaksanaan hala tuju SMJ demi kemajuan dan  kemakmuran kepada keseluruhan lapisan rakyat Sabah. 

Menurutnya, SUCCC memainkan peranan penting sebagai penghubung antara  kerajaan dan komuniti perniagaan, menyebarkan polisi dan maklumat yang berkaitan  dengan perdagangan dan industri disamping menyampaikan suara rakyat kepada  kerajaan.  

Beliau optimis SUCCC yang mempunyai 25 ahli Dewan Perniagaan Cina di seluruh  Sabah dan Labuan akan menjadi sumber yang sungguh bermakna kepada kerajaan  untuk mengeratkan lagi perhubungan rapat dengan komuniti perniagaan Cina di Sabah.  

Hajiji percaya SUCCC dibawah pimpinan Datuk Michael Lui sebagai presiden akan terus  memberi pendapat, pandangan dan cadangan daripada komuniti perniagaan Cina  Sabah mengenai isu pembangunan sosio-ekonomi tempatan, selain bagaimana  meningkatkan persefahaman dan kerjasama dengan kerajaan, untuk membangunkan  ekonomi Sabah serta mengukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum  di negeri ini.  

Tamat