Sebahagian tanah SFI akan dikeluarkan untuk penduduk di Tenom

TENOM: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor memberi jaminan  akan memastikan sebahagian tanah dalam kawasan Sabah Forest Industry (SFI) di  daerah ini dikeluarkan dan diwartakan sebagai tanah perkampungan. 

Katanya, beberapa ribu hektar tanah dalam kawasan konsesi perhutanan syarikat  berkenaan sudah dikenal pasti untuk dikeluarkan supaya penduduk dapat terus  mendudukinya secara sah. 

Pada masa yang sama, katanya beliau juga akan mengarahkan Jabatan Tanah dan  Ukur (JTU) untuk melaksanakan program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah  (PANTAS) di daerah ini. 

Beliau berkata, ia bagi menyelesaikan tanah yang sudah lama diduduki dan diusahakan  penduduk kampung dapat disukat dan dikeluarkan geran kepada pemiliknya. 

"Saya nyatakan bahawa kita akan memastikan beberapa ribu ekar tanah dalam SFI  dikeluarkan untuk perkampungan rakyat kita di Tenom. 

"Begitu juga tanah yang belum disukat, saya akan minta Pengarah JTU untuk  menggunakan program PANTAS bagi mengukur tanah penduduk supaya tanah yang  sudah lama diusahakan diberi geran," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian  Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian  Kemabong di Dewan Sri Ontoros, Kemabong pada Sabtu. 

Beliau memberikan maklum balas terhadap beberapa usul yang dikemukakan Ketua  Bahagian Gagasan Rakyat Kemabong, Datuk Rubin Balang berkaitan dengan  kepentingan rakyat kawasan itu. 

Bercakap pada sidang media selepas itu, Hajiji berkata beliau akan memanggil syarikat  berkenaan bagi membincangkan usul untuk mengeluarkan sebahagian daripada tanah  SFI itu. 

Tamat